Showing posts with label 7 Tanda Gagal Di Universiti. Show all posts
Showing posts with label 7 Tanda Gagal Di Universiti. Show all posts

Thursday, March 10, 2011

7 Tanda anda akan gagal di universiti (4)

Tanda 4

Malas mandiTanda yang keempat ialah ‘Berkawan dengan orang yang malas mandi pagi’. Hmm… siapalah pula yang malas mandi pagi dan siapalah yang suka berkawan dengan orang begini?

Tanda keempat ini bermaksud, pelajar ini suka berkawan dengan orang-orang yang jelasboleh menjatuhkan prestasi dan menjatuhkan semangat untuk berjaya. Contohnya begini, pernahkah anda melihat sekumpulan pelajar yang malas pergi ke kuliah, malas buat assignment dan tidak serius apabila ditugaskan membuat presentation? Sedarkah anda perangai mereka ini semua kelihatan sama. Sama-sama malas dan sama-sama tidak menunjukkan kesungguhan untuk berjaya.

Malas mandiNamun apa yang mungkin anda tidak sedar, diantara pelajar yang malas ini, ada yang pernah terlintas di fikiran mereka untuk berubah dan mahu berjaya. Namun, disebabkan mereka masih berkawan dengan kawan-kawan yang malas dan tidak ada kesungguhan, mereka turut sama jadi malas dan tidak bersungguh-sungguh.

Mengapa saya kata ia umpama seperti berkawan dengan orang yang tidak suka mandi pagi? Begini. Jika pertama kali anda berkenalan dengan orang yang malas mandi pagi, anda akan rasa pelik, janggal dan tidak selesa. Mungkin bau mereka tidak menyenangkan. Namun, setelah lama berkawan, anda sudah mula biasa dengan bau tersebut. Jadi anda rasa semakin selesa.

Apa yang membimbangkan ialah anda akan mula rasa bahawa tidak mandi pagi itu adalah bukan satu isu yang besar. Itu perkara biasa sahaja. Jadi, lama-kelamaan, anda pun akan jadi malas untuk mandi pagi. Malah, anda mungkin akan mula menyokong dan mempertahankan idea tidak mandi pagi sebagai satu perkara yang tidak perlu dihairankan.

Malas mandiBagaimana pula dengan ponteng kuliah? Jika sebahagian kawan-kawan anda, terutamanya kawan-kawan yang rapat dan selalu meluangkan masa bersama anda, termasuk dalam kumpulan pelajar suka ponteng kuliah, anda akan rasa tidak selesa pada mulanya. Anda akan mungkin cuba menasihati mereka. Namun, lama-kelamaan, anda akan mula terfikir, kalau ponteng sekali dua tentu tidak mengapa. Tidak boleh menjejaskan prestasi pelajaran anda.

Sedar tidak sedar, anda sudah mula jadi seperti kawan-kawan yang suka ponteng tadi. Sedar tidak sedar juga prestasi anda semakin menurun dan anda hairan mengapa ia berlaku. Pelikkah mengapa prestasi anda menurun?

Apa kata hari ini anda perhatikan gelagat, tabiat dan perangai kawan-kawan yang rapat dengan anda. Adakah mereka mempunyai kualiti dan ciri-ciri yang anda mahu miliki suatu masa nanti? Jika tidak, apa yang perlu anda lakukan?

Saturday, March 5, 2011

7 Tanda anda akan gagal di universiti (3.1)

Tanda 3.1

Antara 7 tanda yang akan saya bincangkan, ini adalah tanda yang saya rasa penyebab utama mengapa ramai mahasiswa dan mahasiswi tidak cemerlang dari segi akademik atau keterampilan diri. Untuk pengetahuan anda, jika kita mahu, kita boleh salahkan sesiapa sahaja di dunia ini. Malah ada yang menyalahkan tuhan di atas nasib tidak baik yang menimpa diri mereka. Ini jelas menunjukkan bahawa mereka ini tidak berilmu tentang bagaimana cara untuk menghadapi dugaan di dalam dunia ini.

Salahkan hujanApabila saya kata jangan salahkan hujan apabila anda tidak membawa payung, adakah ia bermaksud jika pensyarah anda mengajar dengan cara yang sangat membosankan, dia langsung tidak bersalah? Hmm…. bagi saya, sudah tentu dia bersalah. Seorang pensyarah bukan sahaja perlu tahu dengan mendalam ilmu yang sedang disampaikan, dia juga perlu mahir dalam ilmu untuk menyampaikan sesuatu ilmu. Seorang pensyarah perlu menjadi seorang yang mampu menaikkan semangat pelajar untuk mempelajari apa yang diajarnya.

Namun, pensyarah yang membosankan tidak boleh menjadi alasan mengapa anda tidak boleh belajar dengan baik. Contoh yang saya selalu berikan kepada peserta program saya ialah, jika anda bangun pagi dan tiba-tiba hujan, adakah anda patut salahkan hujan dan tidak pergi ke kuliah? Jawab mereka tidak. Soalan seterusnya, jika tidak boleh salahkan hujan, apa yang perlu dilakukan? Sudah tentu jawapannya mereka gunakan payung atau baju hujan.

Ini adalah pengajaran yang sangat penting. Dalam usaha anda mencapai kejayaan, anda akan temui bermacam-macam masalah dan dugaan. Bak kata Anthony Robbins, masalah dan dugaan umpama graviti, ia memang sentiasa ada. Jadi jika anda terjatuh ketika berkasut roda, anda tidak boleh salahkan graviti.

Salahkan hujanPelajar yang bakal gagal kuat merungut dan mengutuk. Apabila mereka hadir program kursus atau seminar, mereka kutuk makanan yang tidak sedap. Mereka kutuk dewan yang terlalu panas. Mereka kutuk masa yang terlalu panjang. Apa yang peliknya, mereka jarang atau tidak langsung cuba mengutuk diri mereka atau menyalahkan diri mereka sendiri. Jadi, bagi saya, mereka ini adalah pengecut. Pengecut kerana tidak berani melihat dan mengakui kesilapan diri sendiri. Akibatnya, mereka habiskan sisa-sisa hidup mereka dengan menuding jari ke arah orang atau situasi yang menyebabkan kegagalan mereka.

Buka mata anda di universiti dan anda akan lihat seribu macam benda yang tidak kena. Jika anda habiskan tenaga untuk merungut dan menuding jari, ia tetap tidak kena. Apa kata anda lakukan sesuatu untuk menyelesaikannya. Jika pensyarah membosankan, anda belajar bagaimana untuk terus faham walaupun anda rasa bosan. Jika assignment terlalu sukar, anda cari jalan bagaimana anda boleh memudahkannya. Jika presentation terlalu menakutkan anda, cari jalan bagaimana mahu membuat anda tidak sabar untuk melakukan presentation.

Usaha anda untuk menahan diri daripada menuding jari dan mencari jalan penyelesaian ini akan membawa anda ke arah kejayaan. Anda akan dapati hidup anda lebih ceria dan kurang masalah. Walaupun seribu masalah beratur mengambil giliran untuk memeluk anda, kejayaan anda tidak terganggu kerana anda sentiasa mampu mencari cara untuk mengatasinya. Apabila ini berlaku, jika hari hujan dan anda terlupa untuk membawa payung, anda akan bergembira dan bergelak ketawa sambil menikmati keseronokan berlari di dalam hujan. :)

Selamat berlari di dalam hujan.

Saturday, January 15, 2011

7 Tanda anda akan gagal di universiti (3)

Tanda 3

Salahkan hujanTanda ketiga yang anda perlu perhatikan ialah ‘ tidak bawa payung, salahkan hujan’. Ini adalah ditujukan kepada pelajar yang suka menuding jari untuk menyalahkan orang lain di atas kesilapan dan kelemahan diri sendiri.

Saya pernah coretkan sedikit tulisan mengenai tanda ini hampir 2 tahun lalu di blog ini. Apa kata kita lihat kembali. Ketika itu saya tulis, ‘anda adalah orang yang sangat malang jika…

  • Anda terjatuh kerana terlanggar tunggul lalu anda memaki hamun tunggul tersebut kerana? berada di tengah jalan anda.
  • Anda terlewat bangun pagi dan terlepas bas ke sekolah lalu anda salahkan pihak televisyen kerana menayangkan perlawanan bola sepak pada lewat malam.
  • Anda dirotan kerana merokok di sekolah lalu anda menyalahkan pekedai runcit di tempat anda kerana menjual rokok tersebut kepada anda….
  • Anda gagal dalam peperiksaan Matematik lalu anda mengamuk pada kawan anda kerana tidak membenarkan anda meniru beliau.
  • Anda menconteng dinding-dinding atau tempat awam kerana anda rasa tidak ada orang mahu mendengar apa yang Salahkan hujananda hendak katakan.
  • Anda tidak mahu belajar subjek Sejarah dengan bersungguh-sungguh kerana anda rasa cikgu Sejarah anda suka pilih kasih.
  • Anda kalah dalam perlawanan badminton lalu anda salahkan syarikat pembuat raket badminton anda kerana produk tidak berkualiti.

Mungkin situasi yang saya bayangkan kelihatan agak ekstrem dan keterlaluan. Anda tidak mungkin mempunyai ciri-ciri begitu bukan? Namun pernahkah anda ada rasa anda dapat gred yang tidak baik kerana pensyarah anda membosankan, tidak pandai menarik perhatian dan tidak pandai menerangkan sesuatu dengan jelas? Pernahkah anda merungut atau terfikir, “pensyarah aku ni tak pernah belajar teknik presentation ke?” Akibat rungutan ini, anda mula tidak berminat apa yang pensyarah anda ajarkan. Apa kata kita lihat situasi sebenar di universiti pula.

  • Anda pilih untuk duduk kerusi paling belakang dewan kuliah dan kemudian merungut suara pensyarah terlalu perlahan.
  • Anda tidak membaca bahan bacaan asas untuk kuliah dan kemudian merungut pensyarah mengajar terlalu laju.
  • Anda lewat 15 minit ke kuliah dan merungut apa yang diajarkan terlalu sukar difahami.
  • Anda tidak pernah berjumpa pensyarah untuk bertanya apa yang diharapkan dalam assignment yang diberi. Apabila mendapat keputusan yang tidak memuaskan, anda kata pensyarah ini kedekut markah dan pilih kasih.
  • Anda tidak membuat persiapan rapi untuk presentation lalu gugup dan terlalu gementar semasa sesi presentation. Anda salahkan pensyarah kerana mewajibkan presentation.

Apa kata hari ini anda fikirkan sejenak semua rungutan dan keluhan yang pernah diluahkan atau terlintas di hati anda. Fikirkan juga jika ini adalah tanda bahawa anda akan gagal di universiti.

Wednesday, January 12, 2011

7 Tanda anda akan gagal di universiti (2.1)

Tanda 2.1

Takut cubaAdakah anda takut untuk mencuba? Adakah anda takut untuk salah? Pelajar-pelajar yang takut mencuba mempunyai kehebatan yang sama dengan semua pelajar cemerlang dan berjaya. Namun disebabkan mereka takut mencuba, mereka tidak dapat kecapi kejayaan. Bayangkan ada sepinggan kuih di hadapan anda. Walau sedap bagaimanapun kuih itu, anda tidak akan dapat merasainya jika anda tidak cuba atau usahakan untuk menyuapkannya ke dalam mulut anda.

Takut dan tidak mahu mencuba ini juga adalah tanda seseorang pelajar itu bakal menghadapi kesukaran untuk menuntut ilmu yang baru. Contohnya, baru sahaja lihat buku yang agak tebal, mereka sudah takut dan tidak mahu ‘cuba’ membuka atau membacanya.

Di dalam program saya bersama pelajar universiti, saya ada berikan satu cabaran untuk menghafal sekumpulan nombor yang panjang. Kadangkala saya berikan 20 digit nombor untuk dihafal dan kadangkala saya berikan 40 digit. Selepas saya berikan beberapa minit untuk pelajar menghafal, saya akan turut sama menghafal. Namun, saya lebih suka memerhatikan gelagat pelajar yang sedang menghafal.

Osman Affan

Jika di hadapan saya ialah pelajar-pelajar yang selalu mendapat keputusan cemerlang dan aktif dalam aktiviti universiti, mereka selalunya kelihatan bersemangat, bersungguh-sungguh dan ceria semasa cuba menghafal nombor-nombor tersebut. Namun kalau program itu untuk pelajar yang kurang cemerlang, bermasalah disiplin dan berada dalam situasi bakal di buang universiti, mereka langsung tidak ada kesungguhan untuk mencuba. Mereka lihat nombor-nombor itu terlalu susah untuk dihafal lalu mereka tidak mahu langsung mencuba untuk menghafalnya.

Takut mencubaJika mereka hafal, mereka MUNGKIN gagal atauMUNGKIN berjaya untuk menghafal kesemuanya. Namun jika mereka tidak cuba hafal, mereka memang sudah GAGAL.

Jadi, apa kata kita kaji sikap dan cara kita berfikir selama ini. Adakah bimbangkan salah atau gagal menghalang kita daripada melakukan sesuatu yang baru, sesuatu yang hebat dan sesuatu yang bakal merubah masa depan kita? Adakah kita lebih sanggup berdiam diri daripada diketawakan apabila gagal menyampaikan idea kita dengan baik? Adakah kita lebih sanggup berdiri di belakang tabir sepanjang hayat daripada malu berada dihadapan pentas buat seketika? Mari sama-sama kita fikirkan.

Saturday, January 8, 2011

7 Tanda anda akan gagal di universiti (2)

Tanda 2

Tanda kedua yang perlu anda perhatikan ialah ‘Takut salah, tidak mahu mencuba.’

Ada satu perangai pelajar di universiti yang turut membimbangkan saya dan beberapa rakan saya yang bekerja sebagai pensyarah. Kebanyakan mereka terlalu takut buat salah hingga langsung tidak mahu mencuba. Contohnya, jika di dalam program, saya akan minta pelajar teka jawapan kepada satu soalan sama ada A atau B. Ada yang mengangkat tangan untuk A dan ada yang mengangkat tangan untuk B.

Namun, begitu ramai sekali yang langsung tidak mengangkat tangan. Kata mereka mereka tidak pasti. Bagi saya, masalahnya ialah mereka ini tidak boleh membuat keputusan dan takut salah. Daripada salah, lebih baik mereka tidak mengangkat tangan. Bukankah ini satu tabiat yang merugikan?

Siapa yang tidak pernah salah di dunia ini? Jika tidak ada salah, tentu juga tidak ada yang betul. Ada juga pelajar-pelajar ini yang bimbang jika mereka dianggap tunjuk pandai jika menjawab atau mengangkat tangan apabila disoal. Pelik sungguh cara mereka berfikir. Apakah akibat takut buat salah ini?

Takut mencubaApa yang pasti takut buat salah akan membuat pelajar ini tidak akan berani mencuba. Jika mereka pandai melukis, mereka tidak akan berani masuk pertandingan kerana takut kalah. Jika mereka pandai menulis, mereka tidak akan berani menulis kerana bimbang orang tidak suka hasil tulisan mereka. Jika mereka banyak idea, mereka tidak akan berani luahkan kerana takut orang tidak bersetuju dengan idea mereka.

Ini bermakna, tidak berani mencuba sama dengan tidak berani berjaya (Tidak berani cuba = tidak berani berjaya). Jika hendak berjaya pun tidak berani, apakah mereka akan kecapi kejayaan? Jauh sekali.

Sejarah telah banyak membuktikan kejayaan datangnya daripada kebijaksanaan. Kebijaksanaan datangnya daripada pengalaman. Dan pengalaman pula datangnya daripada kegagalan. Jadi, mengapa anda harus takut GAGAL? Mengapa anda harus takut kalau ‘terbuat’ salah??

Sunday, January 2, 2011

7 Tanda anda akan gagal di universiti (1.1)

Tanda 1.1

Tidak boleh tidur malamSudahkah anda fikirkan mengapa anda sukar untuk tidur malam? Ada pelajar atau usahawan yang sukar tidur malam kerana ada ilham atau idea yang datang mencurah-curah. Ini menyebabkan semangat mereka naik lalu sukar untuk tidur. Namun mereka ini selalunya tidak ada masalah untuk bangun pagi kerana mereka tahu banyak perkara yang boleh mereka capai jika bangun awal pagi.

Ketika saya belajar di peringkat A-Level, saya dapati ada beberapa orang sahabat saya selalu benar ponteng kelas. Untuk mengelakkan dikenakan tindakan, mereka mengambil MC (cuti sakit) dengan seribu satu alasan. Mereka tidak dikenakan tindakan tetapi mereka jauh ketinggalan dari sudut pelajaran. Pernah sekali saya tidur di bilik salah seorang sahabat ini. Semasa saya tidur, saya kerap kali terjaga dan lihat sahabat saya ini belum tidur lagi. Mereka asyik berborak sambil bermain gitar. Apa yang diborakkan? Saya pun tidak pasti. Apa yang saya pasti, mereka tidak tidur sehinggalah lebih kurang pukul 5.30 pagi. Saya tahu kerana saya sudah mula mendengar suara azan. Pelik, apabila sudah azan, mereka mula tertidur.

Tidak tidur malamDipendekkan cerita, sahabat saya ini gagal dalam peperiksaan A-Level. Dia tidak dapat meneruskan pelajaran ke luar negara walaupun keputusan peperiksaan SPMnya sangat cemerlang. Saya tidak pasti di mana dia berada sekarang. Cuma saya rasa agak terkilan dan bimbang jika ramai lagi pelajar-pelajar yang berpotensi besar seperti sahabat saya ini di universiti-universiti Malaysia sekarang.

Saya semakin bimbang apabila saya mengendalikan program-program untuk pelajar universiti yang mendapat CGPA 2.0 ke bawah. Kebanyakan yang hadir mempunyai tanda-tanda tidak boleh tidur malam. Muka mereka pucat sepanjang program dan mereka kelihatan mengantuk walaupun semasa aktiviti dijalankan. Mereka akan mengantuk sepanjang hari dan kembali segar pada waktu malam. Jadi, mereka tidak akan tidur lagi. Kitaran ini akan berterusan sehingalah mereka keluar daripada universiti. Tidak kiralah keluar pada hari graduasi atau terkeluar awal daripada jangka masa yang ditetapkan.

Jika anda ada tanda ini, berhati-hatilah. Cari jalan bagaimana anda boleh hentikan tanda ini. Dapatkan nasihat kaunselor universiti dan benar-benar usahakan agar tanda ini tidak menghantui hidup anda sepanjang pengajian di universiti.

Thursday, December 30, 2010

7 Tanda anda akan gagal di universiti (1)

Tanda 1

Mari kita mulakan dengan tanda yang pertama. Anda berkemungkinan besar akan gagal di universiti jika anda ’susah tidur malam dan susah bangun pagi.

Susah tidur malamSemasa pelajar tinggal bersama ibu bapa di rumah, mereka mengikut jadual rumah di mana selepas pukul 10, 11 atau 12 semua ahli keluarga akan masuk tidur. Namun di universiti, tidak ada sesiapa yang mahu menjaga waktu tidur anda. Jika anda mahu menonton televisyen sampai pukul 3 pagi, tidak ada siapa pun ambil peduli. Jika anda mahu memetik gitar hingga subuh, mungkin semua orang hanya akan memekakkan telinga masing-masing.

Apa akibat jika anda susah tidur malam? Ya, sudah tentu anda akan susah bangun pagi. Satu komen paling banyak saya terima mengenai masalah hidup di universiti ialah kelas bermula terlalu awal. Awal? Pukul berapa? 8 pagi…. Hmm… bukan sahaja pelajar lelaki yang merungut, pelajar perempuan turut sama merungut. Mereka tidak suka kelas pada awal pagi kerana mereka masih seronok tidur ketika itu. (Mereka lupa semasa di sekolah rendah dan menengah dulu, mereka berada di sekolah seawal 7 hingga 7.30 pagi)

Saya selalu tanya, kalau pukul 8 pagi tu terlalu awal, pukul berapa anda bangun? Ramai yang dengan nada serba salah berkata mereka bangun lebih kurang pukul 6.30 pagi, sembahyang subuh dan tidur semula. Sayang sekali, saya percaya itu tidak benar. Kalau pukul 8 dianggap awal, kebanyakan pelajar sebenarnya tidak dapat bangun untuk sembahyang subuh setiap hari. Dalam erti kata lain, satu ungkapan yang selalu digunakan untuk keadaan ini ialah ‘Subuh Gajah’. Malah ada yang ‘upgrade’ ungkapan itu kepada ‘Subuh Dinosor’. Mengapa saya kata begitu?

Bayangkan, jika anda bangun pukul 6.30 pagi, pergi ke bilik air, ambil sembahyang, sembahyang dengan baik, bukankah rasa mengantuk itu akan hilang? Gagal bangun untuk Subuh adalah lebih dahsyat daripada gagal atau lewat menghadiri kelas. Sembahyang Subuh adalah penguji kekuatan disiplin dan ketaatan umat Islam. Jika ini sudah gagal, banyak perkara lain yang boleh dijangka gagal juga.

Satu perkara yang agak jelas bagi saya, jika saya jalankan program untuk pelajar yang ketinggalan dari segi akademik (terutamanya pelajar lelaki), program itu juga dihadiri dalam keadaan mengantuk. Dari air muka mereka yang sedikit pucat dan tidak bermaya boleh memberi gambaran yang mereka tidur sangat lewat sebelumnya. Adakah tidur lewat kerana belajar? Jauh sekali. Jika aset yang paling penting untuk belajar (iaitu otak) tidak dapat berfungsi dengan baik untuk belajar disebabkan tidur lewat dan mengantuk, apakah peluangnya untuk pelajar mendapat sesuatu daripada sesi pembelajaran? Kemungkinannya menghampiri sifar.

Jadi untuk permulaan, mari tanya diri kita, adakah kita susah untuk tidur malam dan susah untuk bangun pagi? Jika anda ada tanda ini, fikirkan mengapa anda susah tidur malam. Kita sambung perbincangan ini dalam posting seterusnya.

7 Tanda anda akan gagal di universiti

Pembuka kata

Oleh: Osman Affan

Kali ini mesej tulisan saya mungkin agak berbeza. Saya sebenarnya tidak berapa suka bercerita tentang perkara dalam bentuk negatif kerana ia akan mempengaruhi cara saya berfikir nanti. Namun, kali ini cara bercerita begini adalah perlu memandangkan beberapa situasi yang saya kerap lihat di universiti.

Gagal berucapSejak tahun 2005, saya sudah aktif menjalankan program-program motivasi dan teknik belajar di peringkat universiti. Apa yang saya lihat ialah memang ada pelajar yang tergolong dalam pelajar yang berdisiplin, cemerlang dan bercita-cita tinggi. Namun realitinya, lebih ramai lagi sebenarnya pelajar di universiti yang berfikiran negatif, malas, tidak ada cita-cita, terlalu selesa, tidak yakin diri, tidak mahu mencuba, lemah semangat, takut gagal dan sebagainya lagi.

Situasi ini semua menimbulkan rasa bimbang dan tidak senang dalam hati saya. Generasi pelajar di universiti sekarang ini adalah generasi yang akan membentuk dan memimpin negara kita dalam 10 hingga 20 tahun akan datang, generasi yang bakal memimpin anak-anak saya. Tetapi layakkah mereka menerajui negara jika majoritinya masih sukar untuk bangun pagi jika tidak dikejut atau dipaksa? Layakkah mereka jika bila lihat buku tebal sedikit pun sudah lemah semangat? Lebih membimbangkan lagi, layakkah mereka jika mereka diberi cabaran lalu mengalah, menarik diri dan langsung tidak mahu mencuba?

Telah beberapa hari saya duduk seorang diri mengkaji semula semua pengalaman dan situasi yang saya temui ketika berhadapan dengan pelajar di universiti. Setelah saya senaraikan semua masalah yang pernah saya temui, saya senaraikan 7 tanda-tanda seseorang pelajar mungkin GAGAL di universiti.

GAGAL bukan hanya bermaksud gagal mendapat segulung ijazah. Jika anda ada tanda-tanda ini, anda mungkin masih boleh hadiri hari graduasi tetapi anda

  • Gagal menjadi orang berilmu.
  • Gagal menjadi seorang yang berkeyakinan tinggi.
  • Gagal menjadi seorang yang berkarisma dan boleh dihormati.
  • Gagal menyerlah.
  • Gagal memenuhi potensi sebenar diri sendiri.
  • Gagal mencapai cita-cita sebenar.
  • Gagal mencapai kejayaan dan kebahagiaan yang pernah diimpikan.
  • Gagal mengejar kekayaan.
  • Gagal dalam memenuhi impian dan harapan ibu bapa.
  • Gagal menjadi contoh yang baik kepada orang-orang disekeliling.

Senarai kegagalan itu tidak akan habis agaknya jika difikirkan berterusan.

GagalJika anda sakit dan pergi berjumpa doktor, tentu doktor akan cuba mencari tanda-tanda atau simptom penyakit yang anda ada. Jika anda ada beberapa tanda sekaligus untuk penyakit demam denggi contohnya, sudah hampir pasti anda sedang mengidap penyakit tersebut.

Sama seperti tanda-tanda yang bakal saya kongsikan ini. Jika anda ada lebih daripada 2 atau 3 anda, lebih anda lakukan sesuatu. Jika tidak, tentu orang lain akan dapat meneka apakah kesudahan anda di universiti iaitu…….GAGAL!

Kita akan mulakan dalam posting seterusnya.:)