Tanda 3.1
Antara 7 tanda yang akan saya bincangkan, ini adalah tanda yang saya rasa penyebab utama mengapa ramai mahasiswa dan mahasiswi tidak cemerlang dari segi akademik atau keterampilan diri. Untuk pengetahuan anda, jika kita mahu, kita boleh salahkan sesiapa sahaja di dunia ini. Malah ada yang menyalahkan tuhan di atas nasib tidak baik yang menimpa diri mereka. Ini jelas menunjukkan bahawa mereka ini tidak berilmu tentang bagaimana cara untuk menghadapi dugaan di dalam dunia ini.
Apabila saya kata jangan salahkan hujan apabila anda tidak membawa payung, adakah ia bermaksud jika pensyarah anda mengajar dengan cara yang sangat membosankan, dia langsung tidak bersalah? Hmm…. bagi saya, sudah tentu dia bersalah. Seorang pensyarah bukan sahaja perlu tahu dengan mendalam ilmu yang sedang disampaikan, dia juga perlu mahir dalam ilmu untuk menyampaikan sesuatu ilmu. Seorang pensyarah perlu menjadi seorang yang mampu menaikkan semangat pelajar untuk mempelajari apa yang diajarnya.
Namun, pensyarah yang membosankan tidak boleh menjadi alasan mengapa anda tidak boleh belajar dengan baik. Contoh yang saya selalu berikan kepada peserta program saya ialah, jika anda bangun pagi dan tiba-tiba hujan, adakah anda patut salahkan hujan dan tidak pergi ke kuliah? Jawab mereka tidak. Soalan seterusnya, jika tidak boleh salahkan hujan, apa yang perlu dilakukan? Sudah tentu jawapannya mereka gunakan payung atau baju hujan.
Ini adalah pengajaran yang sangat penting. Dalam usaha anda mencapai kejayaan, anda akan temui bermacam-macam masalah dan dugaan. Bak kata Anthony Robbins, masalah dan dugaan umpama graviti, ia memang sentiasa ada. Jadi jika anda terjatuh ketika berkasut roda, anda tidak boleh salahkan graviti.
Pelajar yang bakal gagal kuat merungut dan mengutuk. Apabila mereka hadir program kursus atau seminar, mereka kutuk makanan yang tidak sedap. Mereka kutuk dewan yang terlalu panas. Mereka kutuk masa yang terlalu panjang. Apa yang peliknya, mereka jarang atau tidak langsung cuba mengutuk diri mereka atau menyalahkan diri mereka sendiri. Jadi, bagi saya, mereka ini adalah pengecut. Pengecut kerana tidak berani melihat dan mengakui kesilapan diri sendiri. Akibatnya, mereka habiskan sisa-sisa hidup mereka dengan menuding jari ke arah orang atau situasi yang menyebabkan kegagalan mereka.
Buka mata anda di universiti dan anda akan lihat seribu macam benda yang tidak kena. Jika anda habiskan tenaga untuk merungut dan menuding jari, ia tetap tidak kena. Apa kata anda lakukan sesuatu untuk menyelesaikannya. Jika pensyarah membosankan, anda belajar bagaimana untuk terus faham walaupun anda rasa bosan. Jika assignment terlalu sukar, anda cari jalan bagaimana anda boleh memudahkannya. Jika presentation terlalu menakutkan anda, cari jalan bagaimana mahu membuat anda tidak sabar untuk melakukan presentation.
Usaha anda untuk menahan diri daripada menuding jari dan mencari jalan penyelesaian ini akan membawa anda ke arah kejayaan. Anda akan dapati hidup anda lebih ceria dan kurang masalah. Walaupun seribu masalah beratur mengambil giliran untuk memeluk anda, kejayaan anda tidak terganggu kerana anda sentiasa mampu mencari cara untuk mengatasinya. Apabila ini berlaku, jika hari hujan dan anda terlupa untuk membawa payung, anda akan bergembira dan bergelak ketawa sambil menikmati keseronokan berlari di dalam hujan.
Selamat berlari di dalam hujan.
No comments:
Post a Comment