Showing posts with label isu semasa. Show all posts
Showing posts with label isu semasa. Show all posts

Sunday, January 2, 2011

Sesi pengajian institusi pengajian tinggi bermula September mulai tahun ini.


TEMERLOH, 1 Jan – Pengambilan pelajar bagi mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTAS) dianjakkan dari bulan Julai ke September mulai tahun ini selaras dengan waktu pengambilan pelajar IPT antarabangsa.

Oleh kerana pada masa lalu, tiada keselarasan waktu pengambilan pelajar, IPT tempatan gagal menarik pelajar luar negara menyambung pengajian di negara ini, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau memberitahu pemberita di sini hari ini, bahawa keputusan berkenaan juga bagi mengelak IPTAS di negara ini “kehilangan” pelajar cemerlang lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Apa yang berlaku ketika ini, ramai pelajar cemerlang lulusan SPM membuat keputusan melanjutkan pengajian mereka di luar negara daripada memilih institusi pengajian tinggi tempatan.

“Mereka (lulusan SPM) dilihat tidak mempunyai masa yang cukup untuk memutuskan (memilih) pusat pengajian tinggi terbaik dalam negara selepas keputusan peperiksaan dikeluarkan.

“Akhirnya ramai yang memilih pengajian tinggi swasta di luar negara terutama Singapura,” katanya.

Saifuddin sebelum itu menghadiri majlis perkahwinan anak perempuan pemberita sambilan Bernama, Harun Mohamed iaitu Norhazwani Nadiah dan pasangannya Mohd Harzamie Rahimi. – Bernama

Sumber: themalaysianinsider

Surat dari KPT

Deklarasi Mahasiswa 2011 : MAHASISWA UNTUK MALAYSIA !

Mahasiswa Untuk Malaysia
1.1.11 merupakan tarikh bersejarah bagi gerakan mahasiswa Malaysia. Suatu himpunan anjuran Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) yang bertemakan ‘Mahasiswa Untuk Malaysia’ telah berlangsung dengan jayanya di padang Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ). Kehadiran pelbagai ‘front’ seperti GAMIS, KAMI, DEMA dan sebagainya menyemarakkan lagi himpunan yang dihadiri oleh aktivis mahasiswa dari seluruh pelusuk negara. Himpunan ini dilihat mampu menjadi suatu titik tolak kebangkitan mahasiswa pada tahun 2011 untuk meneruskan momentum dan aksi dalam usaha menuju Malaysia baru yang lebih gemilang.

Posisi Mahasiswa
Mahasiswa perlu sedar bahawa mereka berada pada kedudukan yang istimewa baik di dalam mahupun luar kampus. Gerakan mahasiswa merupakan sebuah gerakan yang independen dan bersifat non partisan. Mahasiswa tidak mempunyai kepentingan politik kepartian malah, mahasiswa berdiri atas susuk tubuh tersendiri untuk memainkan peranan yang aktif dalam memperjuangkan kebenaran dan keadilan.

Gerakan mahasiswa adalah berasaskan rasa tanggungjawab untuk menjaga kemaslahatan umum. Justeru, mahasiswa perlu terus konsisten dalam memperjuangkan hak mahasiswa dan rakyat. Mahasiswa perlu bersedia dengan cabaran yang bakal dihadapi pada tahun 2011 dan bertindak lebih kreatif agar gerakan anak muda sentiasa relevan berpencak dalam arus politik negara. Di samping itu, mahasiswa harus mengupayakan gerakan ini bagi mencorakkan masa depan Malaysia yang lebih terjamin.

Neraca Yang Benar dan Suluhan Ilmu
Mahasiswa harus bijak menganalisis dan menilai realiti semasa, bukan sekadar menurut dan membiarkan diri mereka hanyut dibawa arus pembodohan. Kita memerlukan neraca yang benar berteraskan prinsip kebenaran dan keadilan. Kita tidak harus membiarkan kebenaran terus dinodai. Kita tidak wajar membiarkan keadilan terus diperkosa. Mahasiswa bertanggungjawab untuk menggerakkan ‘kuasa’ generasi muda untuk memastikan pemerintahan negara berjalan seperti yang sepatutnya.

Namun begitu, kita harus mengangkat martabat diri melalui penguasaan ilmu. Ilmu merupakan asas kepada kehidupan yang lebih baik dan ia dilihat mampu menjadi suluhan bermakna kepada gerakan ini. Kita tidak mahu mahasiswa dianggap sebagai golongan bodoh yang sibuk berbicara mengenai masalah masyarakat. Penguasaan ilmu amat penting dalam menunjangi agenda perubahan dan mendepani cabaran semasa yang kian kompleks. Mahasiswa juga perlu mengelakkan berlakunya ‘bencana intelektual’ yang akhirnya mensia-siakan potensi sebenar mahasiswa. Kesannya, mahasiswa gagal terdidik sehingga lenyap budaya intelektual, hilang sensitiviti dan cenderung menjadi pelaku pasif.

Deklarasi Mahasiswa 2011
Himpunan ini turut mempersetujui tiga deklarasi yang merangkumi kata kunci Mahasiswa Untuk Mahasiswa, Mahasiswa Untuk Rakyat dan Mahasiswa Untuk Negara. Deklarasi ini dilihat bertepatan dengan aspirasi anak muda yang menginginkan keterlibatan secara lebih meluas dalam konteks pembinaan negara. Mahasiswa mahu pendirian mereka didengari dan diperhalusi, justeru keterbukaan semua pihak dalam menanggapi idea mahasiswa amat penting.

Akhir kata, saya berharap agar gerakan anak muda Malaysia dapat mengerah seluruh keringat demi memastikan tahun 2011 menjadi tahun gemilang buat mahasiswa. Kita perlu sahut cabaran untuk kembali menjadi generasi mahasiswa yang bermaruah dan tegas memperjuangkan prinsip. Kita perlu ikhlaskan niat dan lipatgandakan usaha. Perjuangan ini masih panjang dan penuh liku-liku. Apa yang pasti, kita harus lakukan sesuatu demi merealisasikan hasrat menjadi MAHASISWA UNTUK MALAYSIA. Selamat Maju Jaya!

Muhamad Faiz Ismail
Exco Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN)
MPP Umum UKM sesi 2009/2010