Tanda 4
Tanda yang keempat ialah ‘Berkawan dengan orang yang malas mandi pagi’. Hmm… siapalah pula yang malas mandi pagi dan siapalah yang suka berkawan dengan orang begini?
Tanda keempat ini bermaksud, pelajar ini suka berkawan dengan orang-orang yang jelasboleh menjatuhkan prestasi dan menjatuhkan semangat untuk berjaya. Contohnya begini, pernahkah anda melihat sekumpulan pelajar yang malas pergi ke kuliah, malas buat assignment dan tidak serius apabila ditugaskan membuat presentation? Sedarkah anda perangai mereka ini semua kelihatan sama. Sama-sama malas dan sama-sama tidak menunjukkan kesungguhan untuk berjaya.
Namun apa yang mungkin anda tidak sedar, diantara pelajar yang malas ini, ada yang pernah terlintas di fikiran mereka untuk berubah dan mahu berjaya. Namun, disebabkan mereka masih berkawan dengan kawan-kawan yang malas dan tidak ada kesungguhan, mereka turut sama jadi malas dan tidak bersungguh-sungguh.
Mengapa saya kata ia umpama seperti berkawan dengan orang yang tidak suka mandi pagi? Begini. Jika pertama kali anda berkenalan dengan orang yang malas mandi pagi, anda akan rasa pelik, janggal dan tidak selesa. Mungkin bau mereka tidak menyenangkan. Namun, setelah lama berkawan, anda sudah mula biasa dengan bau tersebut. Jadi anda rasa semakin selesa.
Apa yang membimbangkan ialah anda akan mula rasa bahawa tidak mandi pagi itu adalah bukan satu isu yang besar. Itu perkara biasa sahaja. Jadi, lama-kelamaan, anda pun akan jadi malas untuk mandi pagi. Malah, anda mungkin akan mula menyokong dan mempertahankan idea tidak mandi pagi sebagai satu perkara yang tidak perlu dihairankan.
Bagaimana pula dengan ponteng kuliah? Jika sebahagian kawan-kawan anda, terutamanya kawan-kawan yang rapat dan selalu meluangkan masa bersama anda, termasuk dalam kumpulan pelajar suka ponteng kuliah, anda akan rasa tidak selesa pada mulanya. Anda akan mungkin cuba menasihati mereka. Namun, lama-kelamaan, anda akan mula terfikir, kalau ponteng sekali dua tentu tidak mengapa. Tidak boleh menjejaskan prestasi pelajaran anda.
Sedar tidak sedar, anda sudah mula jadi seperti kawan-kawan yang suka ponteng tadi. Sedar tidak sedar juga prestasi anda semakin menurun dan anda hairan mengapa ia berlaku. Pelikkah mengapa prestasi anda menurun?
Apa kata hari ini anda perhatikan gelagat, tabiat dan perangai kawan-kawan yang rapat dengan anda. Adakah mereka mempunyai kualiti dan ciri-ciri yang anda mahu miliki suatu masa nanti? Jika tidak, apa yang perlu anda lakukan?
No comments:
Post a Comment