Tanda 1.1
Sudahkah anda fikirkan mengapa anda sukar untuk tidur malam? Ada pelajar atau usahawan yang sukar tidur malam kerana ada ilham atau idea yang datang mencurah-curah. Ini menyebabkan semangat mereka naik lalu sukar untuk tidur. Namun mereka ini selalunya tidak ada masalah untuk bangun pagi kerana mereka tahu banyak perkara yang boleh mereka capai jika bangun awal pagi.
Ketika saya belajar di peringkat A-Level, saya dapati ada beberapa orang sahabat saya selalu benar ponteng kelas. Untuk mengelakkan dikenakan tindakan, mereka mengambil MC (cuti sakit) dengan seribu satu alasan. Mereka tidak dikenakan tindakan tetapi mereka jauh ketinggalan dari sudut pelajaran. Pernah sekali saya tidur di bilik salah seorang sahabat ini. Semasa saya tidur, saya kerap kali terjaga dan lihat sahabat saya ini belum tidur lagi. Mereka asyik berborak sambil bermain gitar. Apa yang diborakkan? Saya pun tidak pasti. Apa yang saya pasti, mereka tidak tidur sehinggalah lebih kurang pukul 5.30 pagi. Saya tahu kerana saya sudah mula mendengar suara azan. Pelik, apabila sudah azan, mereka mula tertidur.
Dipendekkan cerita, sahabat saya ini gagal dalam peperiksaan A-Level. Dia tidak dapat meneruskan pelajaran ke luar negara walaupun keputusan peperiksaan SPMnya sangat cemerlang. Saya tidak pasti di mana dia berada sekarang. Cuma saya rasa agak terkilan dan bimbang jika ramai lagi pelajar-pelajar yang berpotensi besar seperti sahabat saya ini di universiti-universiti Malaysia sekarang.
Saya semakin bimbang apabila saya mengendalikan program-program untuk pelajar universiti yang mendapat CGPA 2.0 ke bawah. Kebanyakan yang hadir mempunyai tanda-tanda tidak boleh tidur malam. Muka mereka pucat sepanjang program dan mereka kelihatan mengantuk walaupun semasa aktiviti dijalankan. Mereka akan mengantuk sepanjang hari dan kembali segar pada waktu malam. Jadi, mereka tidak akan tidur lagi. Kitaran ini akan berterusan sehingalah mereka keluar daripada universiti. Tidak kiralah keluar pada hari graduasi atau terkeluar awal daripada jangka masa yang ditetapkan.
Jika anda ada tanda ini, berhati-hatilah. Cari jalan bagaimana anda boleh hentikan tanda ini. Dapatkan nasihat kaunselor universiti dan benar-benar usahakan agar tanda ini tidak menghantui hidup anda sepanjang pengajian di universiti.
No comments:
Post a Comment