Saturday, January 8, 2011

7 Tanda anda akan gagal di universiti (2)

Tanda 2

Tanda kedua yang perlu anda perhatikan ialah ‘Takut salah, tidak mahu mencuba.’

Ada satu perangai pelajar di universiti yang turut membimbangkan saya dan beberapa rakan saya yang bekerja sebagai pensyarah. Kebanyakan mereka terlalu takut buat salah hingga langsung tidak mahu mencuba. Contohnya, jika di dalam program, saya akan minta pelajar teka jawapan kepada satu soalan sama ada A atau B. Ada yang mengangkat tangan untuk A dan ada yang mengangkat tangan untuk B.

Namun, begitu ramai sekali yang langsung tidak mengangkat tangan. Kata mereka mereka tidak pasti. Bagi saya, masalahnya ialah mereka ini tidak boleh membuat keputusan dan takut salah. Daripada salah, lebih baik mereka tidak mengangkat tangan. Bukankah ini satu tabiat yang merugikan?

Siapa yang tidak pernah salah di dunia ini? Jika tidak ada salah, tentu juga tidak ada yang betul. Ada juga pelajar-pelajar ini yang bimbang jika mereka dianggap tunjuk pandai jika menjawab atau mengangkat tangan apabila disoal. Pelik sungguh cara mereka berfikir. Apakah akibat takut buat salah ini?

Takut mencubaApa yang pasti takut buat salah akan membuat pelajar ini tidak akan berani mencuba. Jika mereka pandai melukis, mereka tidak akan berani masuk pertandingan kerana takut kalah. Jika mereka pandai menulis, mereka tidak akan berani menulis kerana bimbang orang tidak suka hasil tulisan mereka. Jika mereka banyak idea, mereka tidak akan berani luahkan kerana takut orang tidak bersetuju dengan idea mereka.

Ini bermakna, tidak berani mencuba sama dengan tidak berani berjaya (Tidak berani cuba = tidak berani berjaya). Jika hendak berjaya pun tidak berani, apakah mereka akan kecapi kejayaan? Jauh sekali.

Sejarah telah banyak membuktikan kejayaan datangnya daripada kebijaksanaan. Kebijaksanaan datangnya daripada pengalaman. Dan pengalaman pula datangnya daripada kegagalan. Jadi, mengapa anda harus takut GAGAL? Mengapa anda harus takut kalau ‘terbuat’ salah??

No comments:

Post a Comment