Tanda 1
Mari kita mulakan dengan tanda yang pertama. Anda berkemungkinan besar akan gagal di universiti jika anda ’susah tidur malam dan susah bangun pagi.‘
Semasa pelajar tinggal bersama ibu bapa di rumah, mereka mengikut jadual rumah di mana selepas pukul 10, 11 atau 12 semua ahli keluarga akan masuk tidur. Namun di universiti, tidak ada sesiapa yang mahu menjaga waktu tidur anda. Jika anda mahu menonton televisyen sampai pukul 3 pagi, tidak ada siapa pun ambil peduli. Jika anda mahu memetik gitar hingga subuh, mungkin semua orang hanya akan memekakkan telinga masing-masing.
Apa akibat jika anda susah tidur malam? Ya, sudah tentu anda akan susah bangun pagi. Satu komen paling banyak saya terima mengenai masalah hidup di universiti ialah kelas bermula terlalu awal. Awal? Pukul berapa? 8 pagi…. Hmm… bukan sahaja pelajar lelaki yang merungut, pelajar perempuan turut sama merungut. Mereka tidak suka kelas pada awal pagi kerana mereka masih seronok tidur ketika itu. (Mereka lupa semasa di sekolah rendah dan menengah dulu, mereka berada di sekolah seawal 7 hingga 7.30 pagi)
Saya selalu tanya, kalau pukul 8 pagi tu terlalu awal, pukul berapa anda bangun? Ramai yang dengan nada serba salah berkata mereka bangun lebih kurang pukul 6.30 pagi, sembahyang subuh dan tidur semula. Sayang sekali, saya percaya itu tidak benar. Kalau pukul 8 dianggap awal, kebanyakan pelajar sebenarnya tidak dapat bangun untuk sembahyang subuh setiap hari. Dalam erti kata lain, satu ungkapan yang selalu digunakan untuk keadaan ini ialah ‘Subuh Gajah’. Malah ada yang ‘upgrade’ ungkapan itu kepada ‘Subuh Dinosor’. Mengapa saya kata begitu?
Bayangkan, jika anda bangun pukul 6.30 pagi, pergi ke bilik air, ambil sembahyang, sembahyang dengan baik, bukankah rasa mengantuk itu akan hilang? Gagal bangun untuk Subuh adalah lebih dahsyat daripada gagal atau lewat menghadiri kelas. Sembahyang Subuh adalah penguji kekuatan disiplin dan ketaatan umat Islam. Jika ini sudah gagal, banyak perkara lain yang boleh dijangka gagal juga.
Satu perkara yang agak jelas bagi saya, jika saya jalankan program untuk pelajar yang ketinggalan dari segi akademik (terutamanya pelajar lelaki), program itu juga dihadiri dalam keadaan mengantuk. Dari air muka mereka yang sedikit pucat dan tidak bermaya boleh memberi gambaran yang mereka tidur sangat lewat sebelumnya. Adakah tidur lewat kerana belajar? Jauh sekali. Jika aset yang paling penting untuk belajar (iaitu otak) tidak dapat berfungsi dengan baik untuk belajar disebabkan tidur lewat dan mengantuk, apakah peluangnya untuk pelajar mendapat sesuatu daripada sesi pembelajaran? Kemungkinannya menghampiri sifar.
Jadi untuk permulaan, mari tanya diri kita, adakah kita susah untuk tidur malam dan susah untuk bangun pagi? Jika anda ada tanda ini, fikirkan mengapa anda susah tidur malam. Kita sambung perbincangan ini dalam posting seterusnya.
No comments:
Post a Comment