Friday, July 24, 2009

Bicara Siswi

Kecerdasan Emosi Menstabilkan Diri Individu

Oleh: DR. ISMAIL ZAIN

[Jendela Minda, Titian Mesra: Berita Perak]

MASALAH kegawatan ekonomi, masalah alam sekitar serta masalah peribadi merupakan di antara beberapa faktor yang dapat mempengaruhi "mood" seseorang dalam menjalani tugas harian.

"Mood" ini boleh mengubah peribadi seseorang yang akhirnya dapat menjejas kedudukan dan hubungan mesra antara individu. Mengikut Daniel Goleman (1995) pengarang buku "The Emotional Intelligence", penilaian seseorang individu bukan sahaja diasaskan kepada kecerdasan yang ada pada keintelektualannya (IQ) sahaja tetapi yang lebih penting adalah kecerdasan emosi (EQ) yang ada pada dirinya.

Mengikutnya lagi keceredasan intelek (IQ) tidak dapat menjamin kesejahteraan dan keharmonian diri serta hubungannya dengan masyarakat. Kecerdasan Emosi (EQ) mengikut kajian meninggalkan kesan yang mendalam dalam keseluruhan aspek dalam kehidupan termasuk aspek kesihatan dan sosial.

Dalam bidang pekerjaan mengikut Goleman "... people of high IQ flounder and those of moderate IQ do surprisingly well... Lack of emotional intelligence can sabotage the intellect and ruin careers..." Ini membawa maksud kejayaan diri dalam pekerjaan perlulah juga diimbangi dengan aspek emosi.

Mengikut Daniel, kecerdasan emosi adalah situasi di mana aspek rohaniah perlu diberi keutamaan dalam kehidupan kita terutamanya dalam situasi bekerja. Kecerdasan emosi melibatkan proses:-

Kesedaran kendiri (self-awareness)

Disiplin kendiri

Memahami perasaan dan isi hati orang lain .

Mempunyai kemahiran intra dan inter personal yang baik untuk berkomunikasi.

Dapat mengawal perasaan

Proses yang disebutkan diatas adalah penting ke arah mewujudkan suasana kerja yang menyeronakkan serta melahirkan masyarakat penyayang.

Ketenangan dan keseronokan adalah merupakan salah satu daripada keperluan asas manusia. Perasaan tenang dan seronok bukan sahaja ingin dikecapi di rumah tetapi juga di tempat kerja. Ini boleh dikecapi melalui suasana mesra yang dapat dijalinkan dalam satu pasukan yang mempunyai semangat kekitaan.

Ungkapan "masyarakat penyayang" serta "masyarakat perihatin" bukan hanya sekadar menanam tebu dibibir mulut atau sekadar memenuhi ruang hiasan di pejabat-pejabat tetapi harus direalisasikan melalui amalan dan tindakan dalam pekerjaan. Kelembutan, ketegasan dan kemesraan dalam menjalankan tugas akan lebih dihormati daripada kekerasan dan paksaan.

Aspek emosi ini tidak memerlukan seseorang itu berpangkat tinggi atau berpelajaran tinggi untuk mencapainya. Ianya dapat dicapai melalui perhubungan yang mesra, bertindak tidak mengikut perasaan, menghormati orang lain, serta menyedari bahawa setiap insan mempunyai kekuatan dan kelemahan masing-masing.

Setiap kekuatan yang ada pada diri seseorang itu perlulah diperkembangkan dan dihormati manakala setiap kelemahan itu perlulah dibimbing, didorong dan diperbaiki agar dapat memenuhi satu hala tuju yang diingini. Kesemuanya ini perlulah dilakukan dalam suasana yang mesra serta tidak mempunyai tujuan yang negatif disebaliknya.

Sama ada anda seorang boss atau seorang pekerja bawahan sejauhmanakah emosi anda dapat dicerdaskan? Bersama-samalah kita membuat refleksi diri agar keselesaan dan keharmonian di tempat kerja dapat dikekalkan ke arah mencapai masyarakat penyayang.

No comments:

Post a Comment