Monday, March 21, 2011

UCAPAN DASAR PRESIDEN PMUKM SESI 2010/2011 (PART 2)


PEMBANGUNAN INSAN DAN KEPIMPINAN BERINTEGRITI

Kepimpinan kali ini meletakkan paksi pembangunan insan dan kepimpinan berintegriti sebagai dasar ke arah melahirkan mahasiswa yang mempunyai pelbagai kepakaran dan kemahiran generik sejajar dengan matlamat pendidikan negara. Usaha ini juga bertujuan untuk melahirkan mahasiswa yang memiliki jati diri yang unggul dan menjadi ikon di mata masyarakat khususnya generasi muda. Pembangunan insan didefinisikan sebagai usaha berterusan memupuk dan mengembangkan potensi dalam diri manusia supaya subur dan kental keimanannya serta berupaya dalam menyumbang ke arah kebaikan dan kesejahteraan diri, masyarakat dan juga alam sejagat.

Setiap insan memiliki potensi tersendiri yang boleh digilap dan diserlahkan. Oleh itu, berteraskan garis panduan yang telah digarapkan dalam setiap agama yang dianuti oleh setiap kaum di perbukitan ilmu UKM yang dicintai ini, kepimpinan kami mensasarkan seluruh mahasiswa agar menerapkan nilai moral yang tinggi dan akhlak mulia sebagai corak keperibadian diri tanpa terpengaruh dengan budaya dan gejala yang boleh menjatuhkan kredibiliti dan keintelektualan mahasiswa itu sendiri.

Di samping itu, dalam misi untuk mencapai hasrat murni ini, kami akan bersama-sama memacu mahasiswa dalam mencorakkan personaliti yang disematkan dengan jati diri kebangsaan dan dipayungi oleh budaya ketimuran baik dari segi pemakaian, pergaulan, kesopanan dan adat yang diamalkan. Oleh yang demikian, paksi yang diketengahkan ini cukup lengkap dalam melahirkan mahasiswa yang gemilang selari dengan matlamat pendidikan UKM iaitu beretika dan berjati diri kebangsaan, berkepimpinan dan berkeyakinan.

Sebagai modus operandi untuk mencapai matlamat ini, kami di barisan PMUKM merangka penjenamaan semula PMUKM dari sudut dalaman dan luaran. Dari sudut luaran, kami berhasrat untuk menukarkan nama PMUKM kepada MPMUKM iaitu Majlis Perwakilan Mahasiswa UKM bagi mengangkat martabat entiti ini selari dengan Majlis Perwakilan Mahasiswa di universiti yang lain. Hal ini juga termasuk pembentukan logo baru yang mencerminkan imej UKM, pengenalan sistem biro serta penstrukturan manual pentadbiran dan kewangan MPMUKM. Langkah ini dilihat membawa maksud yang lebih signifikan dari segi pengkhususan fungsi sebagai persatuan mahasiswa induk.

Dari sudut dalaman, kami pihak PMUKM bercadang memperkenalkan sebuah kepimpinan berteraskan nilai integriti melalui penubuhan mini parlimen mahasiswa yang bersifat terbuka. Sistem mini parlimen mahasiswa bukan sahaja terdiri daripada ahli Majlis Perwakilan Pelajar sahaja, malah termasuk wakil daripada Persatuan Mahasiswa Fakulti, Jawatankuasa Kebajikan Siswa/i Kolej, Persatuan Anak Negeri, wakil mahasiswa antarabangsa sebagai pemerhati dalam proses persidangan PMUKM untuk memastikan perbincangan PMUKM lebih telus dan profesional.

Pembawaan kepimpinan sesi ini dalam menjana kepimpinan berkaliber dipayungi oleh 3 tonggak utama iaitu mahasiswa untuk mahasiswa, mahasiswa untuk masyarakat dan juga mahasiswa untuk negara. Bagi elemen mahasiswa untuk mahasiswa, barisan kepimpinan akan bersama-sama mahasiswa untuk menjadi timbal balik kepada pentadbiran universiti di samping menjadi agen penerangan antara mahasiswa dan pihak pentadbiran universiti bagi mewujudkan persefahaman antara kedua belah pihak. Selain itu, bagi elemen mahasiswa untuk masyarakat, kami akan merangka pelbagai program yang mampu menerapkan aspek tanggungjawab sosial bagi mendekatkan mahasiswa dengan masyarakat sebagai persediaan sebelum mahasiswa terjun ke lapangan luar kampus. Seterusnya, bagi merealisasikan hasrat mahasiswa untuk negara, kami akan responsif dalam menyatakan pendirian mahasiswa terhadap dasar negara bagi memastikan pentadbiran negara berjalan seperti sepatutnya.


KEADILAN SOSIAL DAN PERMUAFAKATAN SEJAGAT

Penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia yang menjangkau usia 41 tahun seharusnya menggambarkan sebuah imej kebangsaaan yang mewakili gambaran besar masyarakat Malaysia itu sendiri. Imej sebuah universiti kebangsaan juga menjadi suatu tanda aras kepada umum mengenai sejauh mana keberjayaan kerangka perpaduan dan kesepaduan yang wujud di kalangan mahasiswa universiti.

Keadilan sosial menjadi suatu asas dalam usaha menyemai persefahaman dan perpaduan dalam kalangan mahasiswa berteraskan prinsip memenuhi keperluan demi kepentingan bersama. Keadilan sosial menitikberatkan kesaksamaan dalam pemberian hak tanpa mengira batasan tertentu, termasuklah dalam ruang lingkup perkhidmatan. Pihak PMUKM yakin sekiranya konsep ini terlaksana dengan baik, universiti kita mampu mewujudkan perpaduan yang mencerminkan kesepakatan, persefahaman serta muafakat sejati antara kaum, budaya dan agama.

Konotasi permuafakatan daripada Kamus Dewan Edisi Keempat, memberi takrifan kepada persetujuan dan persepakatan. Permuafakatan sejagat bermaksud persetujuan ataupun persepakatan terhadap perkara-perkara yang menjadi titik persamaan oleh sesuatu masyarakat dan dalam konteks ini masyarakat tersebut merujuk kepada masyarakat kampus.

Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat”. Peribahasa ini sesuai untuk menggambarkan betapa pentingnya muafakat sebagai alat penyatuan tanpa mengira batasan kaum, ideologi dan latar belakang peribadi. Justeru, pihak PMUKM berusaha untuk mewujudkan suasana harmoni dalam kalangan masyarakat mahasiswa dengan menumpukan kepada titik persamaan dan meraikan perbezaan yang wujud antara mereka.

Antara perkara yang boleh diusahakan dalam memanifestasikan kedua-dua maksud di atas ialah meningkatkan usaha dalam memupuk budaya Malaysia berasaskan nilai moral dan kepelbagaian budaya yang boleh diterima semua kaum. PMUKM perlu menggiatkan dialog dialog dan rundingan antara peradaban bagi mengukuhkan persefahaman. Pihak PMUKM turut melihat perlunya suatu usaha dalam menjamin peluang dan hak keadilan mahasiswa dalam membangunkan diri dan masyarakat. Justeru, batasan dan had yang menjadi limitasi dan penghalang perlulah diselesaikan terlebih dahulu agar harapan untuk mewujudkan permuafakatan yang sebenar dapat direalisasikan dengan jayanya. Oleh yang demikian, konsep keadilan sosial dan pemuafakatan sejagat ini adalah relevan.

Merujuk kepada tema yang dibawakan, kami sangat berharap agar wujudnya kebersamaan mahasiswa dan PMUKM dalam merealisasikan fungsi UKM secara sepenuhnya sebagai institusi untuk mencari kebenaran. Berbekalkan semangat anak muda dan kepercayaan yang diberikan, kami selaku barisan kepimpinan PMUKM pada sesi 2010-2011 menyeru kepada semua pihak agar dapat meningkatkan kefahaman dan keserasian berteraskan prinsip keadilan. Kita semua perlu bergerak seiringan dalam menyerlahkan kredibiliti dan keunggulan UKM sebagai sebuah universiti kebangsaan yang benar-benar berupaya mengilham harapan dan mencipta masa depan yang lebih baik. Perjuangan yang kita warisi ini merupakan perjuangan yang telah dimulakan oleh insan yang terdahulu. Justeru, ianya perlu diteruskan dalam rangka untuk mengangkat martabat negara di persada dunia.

PENGHARGAAN
Terima kasih kepada Y.Bhg Tan Sri Naib Canselor dan semua warga kampus. Pihak PMUKM berharap agar gagasan dan perancangan ini dapat direalisasikan demi kebaikan semua.

Saya akhiri ucapan ini dengan serangkap pantun :

Bersahsiah tinggi berjiwa kekal,
Warga berbudi berakhlak budiman,
Paduan ilmu, iman dan amal,
Menjadi panduan insan idaman.

Sekian, terima kasih.

No comments:

Post a Comment