Thursday, January 27, 2011

Operasi Khidmat Masyarakat(OPKIM).



OPKIM PMFSKB kembali!!!

Masuk edisi ke-15 kali ini, bakal diadakan di Kg. Balai Besar, Dungun, Terengganu Darul Iman. Dari 30/1-4/2, semoga misi mahasiswa/i untuk berbakti kepada masyarakat ini akan berlangsung dengan jayanya..

Untuk itu, sedikit nostalgia opkim ke-14 untuk tatapan terutamanya bagi mereka yang pertama kali mendengar tentang opkim..


MAHASISWA BERKHIDMAT, MEMPERKASA MASYARAKAT SIHAT ”

Saturday, January 15, 2011

7 Tanda anda akan gagal di universiti (3)

Tanda 3

Salahkan hujanTanda ketiga yang anda perlu perhatikan ialah ‘ tidak bawa payung, salahkan hujan’. Ini adalah ditujukan kepada pelajar yang suka menuding jari untuk menyalahkan orang lain di atas kesilapan dan kelemahan diri sendiri.

Saya pernah coretkan sedikit tulisan mengenai tanda ini hampir 2 tahun lalu di blog ini. Apa kata kita lihat kembali. Ketika itu saya tulis, ‘anda adalah orang yang sangat malang jika…

  • Anda terjatuh kerana terlanggar tunggul lalu anda memaki hamun tunggul tersebut kerana? berada di tengah jalan anda.
  • Anda terlewat bangun pagi dan terlepas bas ke sekolah lalu anda salahkan pihak televisyen kerana menayangkan perlawanan bola sepak pada lewat malam.
  • Anda dirotan kerana merokok di sekolah lalu anda menyalahkan pekedai runcit di tempat anda kerana menjual rokok tersebut kepada anda….
  • Anda gagal dalam peperiksaan Matematik lalu anda mengamuk pada kawan anda kerana tidak membenarkan anda meniru beliau.
  • Anda menconteng dinding-dinding atau tempat awam kerana anda rasa tidak ada orang mahu mendengar apa yang Salahkan hujananda hendak katakan.
  • Anda tidak mahu belajar subjek Sejarah dengan bersungguh-sungguh kerana anda rasa cikgu Sejarah anda suka pilih kasih.
  • Anda kalah dalam perlawanan badminton lalu anda salahkan syarikat pembuat raket badminton anda kerana produk tidak berkualiti.

Mungkin situasi yang saya bayangkan kelihatan agak ekstrem dan keterlaluan. Anda tidak mungkin mempunyai ciri-ciri begitu bukan? Namun pernahkah anda ada rasa anda dapat gred yang tidak baik kerana pensyarah anda membosankan, tidak pandai menarik perhatian dan tidak pandai menerangkan sesuatu dengan jelas? Pernahkah anda merungut atau terfikir, “pensyarah aku ni tak pernah belajar teknik presentation ke?” Akibat rungutan ini, anda mula tidak berminat apa yang pensyarah anda ajarkan. Apa kata kita lihat situasi sebenar di universiti pula.

  • Anda pilih untuk duduk kerusi paling belakang dewan kuliah dan kemudian merungut suara pensyarah terlalu perlahan.
  • Anda tidak membaca bahan bacaan asas untuk kuliah dan kemudian merungut pensyarah mengajar terlalu laju.
  • Anda lewat 15 minit ke kuliah dan merungut apa yang diajarkan terlalu sukar difahami.
  • Anda tidak pernah berjumpa pensyarah untuk bertanya apa yang diharapkan dalam assignment yang diberi. Apabila mendapat keputusan yang tidak memuaskan, anda kata pensyarah ini kedekut markah dan pilih kasih.
  • Anda tidak membuat persiapan rapi untuk presentation lalu gugup dan terlalu gementar semasa sesi presentation. Anda salahkan pensyarah kerana mewajibkan presentation.

Apa kata hari ini anda fikirkan sejenak semua rungutan dan keluhan yang pernah diluahkan atau terlintas di hati anda. Fikirkan juga jika ini adalah tanda bahawa anda akan gagal di universiti.

Wednesday, January 12, 2011

MASIH ADA YANG SAYANG.

7 Tanda anda akan gagal di universiti (2.1)

Tanda 2.1

Takut cubaAdakah anda takut untuk mencuba? Adakah anda takut untuk salah? Pelajar-pelajar yang takut mencuba mempunyai kehebatan yang sama dengan semua pelajar cemerlang dan berjaya. Namun disebabkan mereka takut mencuba, mereka tidak dapat kecapi kejayaan. Bayangkan ada sepinggan kuih di hadapan anda. Walau sedap bagaimanapun kuih itu, anda tidak akan dapat merasainya jika anda tidak cuba atau usahakan untuk menyuapkannya ke dalam mulut anda.

Takut dan tidak mahu mencuba ini juga adalah tanda seseorang pelajar itu bakal menghadapi kesukaran untuk menuntut ilmu yang baru. Contohnya, baru sahaja lihat buku yang agak tebal, mereka sudah takut dan tidak mahu ‘cuba’ membuka atau membacanya.

Di dalam program saya bersama pelajar universiti, saya ada berikan satu cabaran untuk menghafal sekumpulan nombor yang panjang. Kadangkala saya berikan 20 digit nombor untuk dihafal dan kadangkala saya berikan 40 digit. Selepas saya berikan beberapa minit untuk pelajar menghafal, saya akan turut sama menghafal. Namun, saya lebih suka memerhatikan gelagat pelajar yang sedang menghafal.

Osman Affan

Jika di hadapan saya ialah pelajar-pelajar yang selalu mendapat keputusan cemerlang dan aktif dalam aktiviti universiti, mereka selalunya kelihatan bersemangat, bersungguh-sungguh dan ceria semasa cuba menghafal nombor-nombor tersebut. Namun kalau program itu untuk pelajar yang kurang cemerlang, bermasalah disiplin dan berada dalam situasi bakal di buang universiti, mereka langsung tidak ada kesungguhan untuk mencuba. Mereka lihat nombor-nombor itu terlalu susah untuk dihafal lalu mereka tidak mahu langsung mencuba untuk menghafalnya.

Takut mencubaJika mereka hafal, mereka MUNGKIN gagal atauMUNGKIN berjaya untuk menghafal kesemuanya. Namun jika mereka tidak cuba hafal, mereka memang sudah GAGAL.

Jadi, apa kata kita kaji sikap dan cara kita berfikir selama ini. Adakah bimbangkan salah atau gagal menghalang kita daripada melakukan sesuatu yang baru, sesuatu yang hebat dan sesuatu yang bakal merubah masa depan kita? Adakah kita lebih sanggup berdiam diri daripada diketawakan apabila gagal menyampaikan idea kita dengan baik? Adakah kita lebih sanggup berdiri di belakang tabir sepanjang hayat daripada malu berada dihadapan pentas buat seketika? Mari sama-sama kita fikirkan.

Saturday, January 8, 2011

7 Tanda anda akan gagal di universiti (2)

Tanda 2

Tanda kedua yang perlu anda perhatikan ialah ‘Takut salah, tidak mahu mencuba.’

Ada satu perangai pelajar di universiti yang turut membimbangkan saya dan beberapa rakan saya yang bekerja sebagai pensyarah. Kebanyakan mereka terlalu takut buat salah hingga langsung tidak mahu mencuba. Contohnya, jika di dalam program, saya akan minta pelajar teka jawapan kepada satu soalan sama ada A atau B. Ada yang mengangkat tangan untuk A dan ada yang mengangkat tangan untuk B.

Namun, begitu ramai sekali yang langsung tidak mengangkat tangan. Kata mereka mereka tidak pasti. Bagi saya, masalahnya ialah mereka ini tidak boleh membuat keputusan dan takut salah. Daripada salah, lebih baik mereka tidak mengangkat tangan. Bukankah ini satu tabiat yang merugikan?

Siapa yang tidak pernah salah di dunia ini? Jika tidak ada salah, tentu juga tidak ada yang betul. Ada juga pelajar-pelajar ini yang bimbang jika mereka dianggap tunjuk pandai jika menjawab atau mengangkat tangan apabila disoal. Pelik sungguh cara mereka berfikir. Apakah akibat takut buat salah ini?

Takut mencubaApa yang pasti takut buat salah akan membuat pelajar ini tidak akan berani mencuba. Jika mereka pandai melukis, mereka tidak akan berani masuk pertandingan kerana takut kalah. Jika mereka pandai menulis, mereka tidak akan berani menulis kerana bimbang orang tidak suka hasil tulisan mereka. Jika mereka banyak idea, mereka tidak akan berani luahkan kerana takut orang tidak bersetuju dengan idea mereka.

Ini bermakna, tidak berani mencuba sama dengan tidak berani berjaya (Tidak berani cuba = tidak berani berjaya). Jika hendak berjaya pun tidak berani, apakah mereka akan kecapi kejayaan? Jauh sekali.

Sejarah telah banyak membuktikan kejayaan datangnya daripada kebijaksanaan. Kebijaksanaan datangnya daripada pengalaman. Dan pengalaman pula datangnya daripada kegagalan. Jadi, mengapa anda harus takut GAGAL? Mengapa anda harus takut kalau ‘terbuat’ salah??

Tuesday, January 4, 2011

BENGKEL GRAFIK!!!



Anda minat GRAFIK????
Ingin meningkatkan pengetahuan anda mengenai PHOTOSHOP???

Jom beramai-ramai kita menghadiri Bengkel Grafik sempena Fiesta Tecnopreneur!

Bayaran yang dikenakan hanya RM 1....=)

Sunday, January 2, 2011

MAKLUMAN KELEWATAN KEMASUKAN BIASISWA JPA


Saudara/Saudari,

MAKLUMAN KELEWATAN KEMASUKAN WANG BIASISWA JABATAN PERKHIDMATAN AWAM (JPA) KEPADA PELAJAR BAGI SEMESTER 2 2010/2011

Dengan segala hormatnya saya merujuk kepada perkara di atas.

2. Untuk makluman saudara/saudari, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah memutuskan tarikh kemasukan wang biasiswa bagi semester 2 2010/2011 untuk pelajar tajaan akan mengalami sedikit kelewatan. Bayaran bagi semester tersebut akan dibuat pada tahun hadapan iaitu di antara pertengahan bulan Januari sehingga bulan Februari 2011. Kelewatan ini adalah kerana Jabatan ini telah diarahkan untuk proses penutupan akaun bagi tahun 2010.

3. Sehubungan dengan itu, Jabatan ini menasihatkan agar para pelajar tajaan JPA mengambil langkah berjimat cermat di dalam menggunakan wang pemberian ibu/bapa/keluarga dan universiti bagi mengelakkan para pelajar mengalami masalah kewangan semaktu memulakan semester baru.

4. Sebarang kesulitan yang dialami oleh saudara/saudari dalam perkara ini amatlah dikesali.

Sekian.

"BERKHIDMAT UNTUK NEGARA"

Unit Latihan Sebelum Perkhidmatan (Dalam Negara)
Bahagian Pembangunan Modal Insan
b.p Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam
Malaysia.

Ikuti:

1. Penjelasan Isu JPA, PTPTN dan Yuran.

2. JPA dan PTPTN: Solusi Dalam Masa Terdekat.

Sesi pengajian institusi pengajian tinggi bermula September mulai tahun ini.


TEMERLOH, 1 Jan – Pengambilan pelajar bagi mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTAS) dianjakkan dari bulan Julai ke September mulai tahun ini selaras dengan waktu pengambilan pelajar IPT antarabangsa.

Oleh kerana pada masa lalu, tiada keselarasan waktu pengambilan pelajar, IPT tempatan gagal menarik pelajar luar negara menyambung pengajian di negara ini, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau memberitahu pemberita di sini hari ini, bahawa keputusan berkenaan juga bagi mengelak IPTAS di negara ini “kehilangan” pelajar cemerlang lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Apa yang berlaku ketika ini, ramai pelajar cemerlang lulusan SPM membuat keputusan melanjutkan pengajian mereka di luar negara daripada memilih institusi pengajian tinggi tempatan.

“Mereka (lulusan SPM) dilihat tidak mempunyai masa yang cukup untuk memutuskan (memilih) pusat pengajian tinggi terbaik dalam negara selepas keputusan peperiksaan dikeluarkan.

“Akhirnya ramai yang memilih pengajian tinggi swasta di luar negara terutama Singapura,” katanya.

Saifuddin sebelum itu menghadiri majlis perkahwinan anak perempuan pemberita sambilan Bernama, Harun Mohamed iaitu Norhazwani Nadiah dan pasangannya Mohd Harzamie Rahimi. – Bernama

Sumber: themalaysianinsider

Surat dari KPT

7 Tanda anda akan gagal di universiti (1.1)

Tanda 1.1

Tidak boleh tidur malamSudahkah anda fikirkan mengapa anda sukar untuk tidur malam? Ada pelajar atau usahawan yang sukar tidur malam kerana ada ilham atau idea yang datang mencurah-curah. Ini menyebabkan semangat mereka naik lalu sukar untuk tidur. Namun mereka ini selalunya tidak ada masalah untuk bangun pagi kerana mereka tahu banyak perkara yang boleh mereka capai jika bangun awal pagi.

Ketika saya belajar di peringkat A-Level, saya dapati ada beberapa orang sahabat saya selalu benar ponteng kelas. Untuk mengelakkan dikenakan tindakan, mereka mengambil MC (cuti sakit) dengan seribu satu alasan. Mereka tidak dikenakan tindakan tetapi mereka jauh ketinggalan dari sudut pelajaran. Pernah sekali saya tidur di bilik salah seorang sahabat ini. Semasa saya tidur, saya kerap kali terjaga dan lihat sahabat saya ini belum tidur lagi. Mereka asyik berborak sambil bermain gitar. Apa yang diborakkan? Saya pun tidak pasti. Apa yang saya pasti, mereka tidak tidur sehinggalah lebih kurang pukul 5.30 pagi. Saya tahu kerana saya sudah mula mendengar suara azan. Pelik, apabila sudah azan, mereka mula tertidur.

Tidak tidur malamDipendekkan cerita, sahabat saya ini gagal dalam peperiksaan A-Level. Dia tidak dapat meneruskan pelajaran ke luar negara walaupun keputusan peperiksaan SPMnya sangat cemerlang. Saya tidak pasti di mana dia berada sekarang. Cuma saya rasa agak terkilan dan bimbang jika ramai lagi pelajar-pelajar yang berpotensi besar seperti sahabat saya ini di universiti-universiti Malaysia sekarang.

Saya semakin bimbang apabila saya mengendalikan program-program untuk pelajar universiti yang mendapat CGPA 2.0 ke bawah. Kebanyakan yang hadir mempunyai tanda-tanda tidak boleh tidur malam. Muka mereka pucat sepanjang program dan mereka kelihatan mengantuk walaupun semasa aktiviti dijalankan. Mereka akan mengantuk sepanjang hari dan kembali segar pada waktu malam. Jadi, mereka tidak akan tidur lagi. Kitaran ini akan berterusan sehingalah mereka keluar daripada universiti. Tidak kiralah keluar pada hari graduasi atau terkeluar awal daripada jangka masa yang ditetapkan.

Jika anda ada tanda ini, berhati-hatilah. Cari jalan bagaimana anda boleh hentikan tanda ini. Dapatkan nasihat kaunselor universiti dan benar-benar usahakan agar tanda ini tidak menghantui hidup anda sepanjang pengajian di universiti.

Deklarasi Mahasiswa 2011 : MAHASISWA UNTUK MALAYSIA !

Mahasiswa Untuk Malaysia
1.1.11 merupakan tarikh bersejarah bagi gerakan mahasiswa Malaysia. Suatu himpunan anjuran Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) yang bertemakan ‘Mahasiswa Untuk Malaysia’ telah berlangsung dengan jayanya di padang Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ). Kehadiran pelbagai ‘front’ seperti GAMIS, KAMI, DEMA dan sebagainya menyemarakkan lagi himpunan yang dihadiri oleh aktivis mahasiswa dari seluruh pelusuk negara. Himpunan ini dilihat mampu menjadi suatu titik tolak kebangkitan mahasiswa pada tahun 2011 untuk meneruskan momentum dan aksi dalam usaha menuju Malaysia baru yang lebih gemilang.

Posisi Mahasiswa
Mahasiswa perlu sedar bahawa mereka berada pada kedudukan yang istimewa baik di dalam mahupun luar kampus. Gerakan mahasiswa merupakan sebuah gerakan yang independen dan bersifat non partisan. Mahasiswa tidak mempunyai kepentingan politik kepartian malah, mahasiswa berdiri atas susuk tubuh tersendiri untuk memainkan peranan yang aktif dalam memperjuangkan kebenaran dan keadilan.

Gerakan mahasiswa adalah berasaskan rasa tanggungjawab untuk menjaga kemaslahatan umum. Justeru, mahasiswa perlu terus konsisten dalam memperjuangkan hak mahasiswa dan rakyat. Mahasiswa perlu bersedia dengan cabaran yang bakal dihadapi pada tahun 2011 dan bertindak lebih kreatif agar gerakan anak muda sentiasa relevan berpencak dalam arus politik negara. Di samping itu, mahasiswa harus mengupayakan gerakan ini bagi mencorakkan masa depan Malaysia yang lebih terjamin.

Neraca Yang Benar dan Suluhan Ilmu
Mahasiswa harus bijak menganalisis dan menilai realiti semasa, bukan sekadar menurut dan membiarkan diri mereka hanyut dibawa arus pembodohan. Kita memerlukan neraca yang benar berteraskan prinsip kebenaran dan keadilan. Kita tidak harus membiarkan kebenaran terus dinodai. Kita tidak wajar membiarkan keadilan terus diperkosa. Mahasiswa bertanggungjawab untuk menggerakkan ‘kuasa’ generasi muda untuk memastikan pemerintahan negara berjalan seperti yang sepatutnya.

Namun begitu, kita harus mengangkat martabat diri melalui penguasaan ilmu. Ilmu merupakan asas kepada kehidupan yang lebih baik dan ia dilihat mampu menjadi suluhan bermakna kepada gerakan ini. Kita tidak mahu mahasiswa dianggap sebagai golongan bodoh yang sibuk berbicara mengenai masalah masyarakat. Penguasaan ilmu amat penting dalam menunjangi agenda perubahan dan mendepani cabaran semasa yang kian kompleks. Mahasiswa juga perlu mengelakkan berlakunya ‘bencana intelektual’ yang akhirnya mensia-siakan potensi sebenar mahasiswa. Kesannya, mahasiswa gagal terdidik sehingga lenyap budaya intelektual, hilang sensitiviti dan cenderung menjadi pelaku pasif.

Deklarasi Mahasiswa 2011
Himpunan ini turut mempersetujui tiga deklarasi yang merangkumi kata kunci Mahasiswa Untuk Mahasiswa, Mahasiswa Untuk Rakyat dan Mahasiswa Untuk Negara. Deklarasi ini dilihat bertepatan dengan aspirasi anak muda yang menginginkan keterlibatan secara lebih meluas dalam konteks pembinaan negara. Mahasiswa mahu pendirian mereka didengari dan diperhalusi, justeru keterbukaan semua pihak dalam menanggapi idea mahasiswa amat penting.

Akhir kata, saya berharap agar gerakan anak muda Malaysia dapat mengerah seluruh keringat demi memastikan tahun 2011 menjadi tahun gemilang buat mahasiswa. Kita perlu sahut cabaran untuk kembali menjadi generasi mahasiswa yang bermaruah dan tegas memperjuangkan prinsip. Kita perlu ikhlaskan niat dan lipatgandakan usaha. Perjuangan ini masih panjang dan penuh liku-liku. Apa yang pasti, kita harus lakukan sesuatu demi merealisasikan hasrat menjadi MAHASISWA UNTUK MALAYSIA. Selamat Maju Jaya!

Muhamad Faiz Ismail
Exco Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN)
MPP Umum UKM sesi 2009/2010