Friday, December 31, 2010

Selamat Tahun Baru 2011.


Kita berada di ambang tahun baru 2011. Tahun 2010 akan ditinggalkan dengan seribu kenangan, yang termaktub sudah dalam lipatan sejarah. Sejarah sukan negara yang terkini adalah tentang skuad bola sepak Negara yang memenangi Piala AFF 2010. Mungkin dalam kehidupan kita sendiri, mempunyai sejarah pahit dan manis yang dilalui sepanjang tahun ini yang akan kekal sepanjang hidup kita. Semua ini mengajar satu erti hidup dan kisah bersama.

Berbalik kepada sambutan tahun baru yang bakal diadakan tidak lama lagi, terutama sekali sambutan diperingkat negeri dan negara. Soalnya sekarang, apakah hukum menyambut tahun baru masihi?

HUKUM SAMBUTAN TAHUN BARU MASIHI
(panduan untuk muslim)

Ustaz Zaharuddin menyatakan hukumnya adalah HARUS secara bersyarat, iaitu;

a) Sambutan tersebut dilakukan atas asas ‘Uruf atau ‘Adat dan bukannya di anggap sebagai suatu upacara keagamaan.
b) Tiada percampuran rambang lelaki dan wanita yang bukan mahramyang dikebiasaan membawa kepada maksiat
c) Tidak dicampur adukkan dengan hiburan-hiburan yang bertentangan dengan kehendak Islam.
d) Kandungan majlis sambutan ini juga mestilah bertepatan dengan kehendak syara’ – anjurkan majlis ilmu.

Baca pandangan penuh Ustaz Zaharuddin disini.

Namun hakikat hari ini sambutan tahun baru tidak lengkap kalau tiada konsert-konsert hiburan, samada di kaca TV ataupun di tempat sambutan tahun baru. Justeru itu ia lebih membawa keburukan apabila berlakunya pergaulan bebas, ada yang mabuk dan bertindak liar merosakkan harta benda awam serta mengancam petugas-petugas keselamatan yang berkawal.

Sehubungan itu, lebih baik kita mengelakkan diri daripada terlibat dalam sambutan tahun baru yang diketahui bercampur aduk dengan program-program maksiat.

SAMBUTAN YANG POSITIF

Sebagaimana syarikat-syarikat dimestikan membuat penyata kewangan untuk setiap tahun kewangan masing-masing, penutup 2010 menjadi satu titik terbaik untuk kita muhasabah dan menganalisa pencapaian sebenar untuk sepanjang 2010. Post-mortem diperlukan untuk mengetahui di mana kita berada dan ke mana tujuan kita seterusnya.

Saudara Amin Idris, dalam laman webnya Magnet Diri menyatakan beberapa langkah untuk membuat post-mortem seperti berikut;

a) Merujuk kembali kepada matlamat atau azam 2010
b) Merujuk perancangan untuk mencapai matlamat tersebut
c) Perancangan dilaksana
d) Perancangan tertangguh
e) Sebab tertangguh dan idea mengatasinya

Nah, setelah selesai membuat analisis, kita sudah bersedia untuk membuat matlamat 2010, beserta perancangannya.

MATLAMAT 2011 YANG ‘SMART’

Dato’ Dr. Mohd Fadzilah Kamsah dan Ahmad Fadzli Yusuf dalam buku mereka, Kuasa Hijrah Kuasa Untuk Berubah memberi tip ‘SMART’ untuk menghasilkan matlamat yang berkesan;

a) S: Spesifik, A: Anggar
Memperincikan matlamat dan mampu diukur. Contohnya menabung 10% pendapatan bulanan setiap bulan. Jadi kalau pendapatan RM4,000, jumlah tabungan bulanan ialah RM400, yang mana selama setahun akan menghasilkan jumlah keseluruhan RM4,800!

b) M: Menarik
Matlamat yang mampu membakar semangat anda. Matlamat tersebut mesti mempunyai kebaikan untuk diri anda, keluarga dan masyarakat. Ia juga sepatutnya mampu membangkitkan perasaan ghairah untuk mencapainya. Contoh, untuk meningkatkan pendapatan bulanan sehingga RM7,000 sebulan! Ataupun untuk ‘score’ 12A dalam peperiksaan SPM 2011! Menarik bukan?

c) R: Ransang dan regang
Matlamat tersebut mampu mencabar kemampuan anda. Contoh, untuk mendapatkan ‘passive income’ RM5,000 sebulan, merangsang dan mencabar kan? Bill Gates bermula dengan menetapkan matlamat ‘sebuah komputer di atas setiap meja, di dalam setiap rumah’!

d) T: Tulis
Matlamat perlu direalisasikan daripada ruang pemikiran kita ke atas kertas! Kajian di Universiti Yale pada tahun 1953, hanya 3% pelajar menulis matlamat mereka, sementara 97% tidak menulisnya. Kajian susulan 20 tahun kemudian mendapati pendapatan keseluruhan 3% pelajar yang menulis matlamat adalah lebih besar berbanding pendapatan keseluruhan 97% yang tidak menulis matlamat! Hebat sekali kesan menulis matlamat yang jelas bukan?

Kesimpulannya, marilah kita muhasabah diri dan merencanakan matlamat yang ingin dicapai sepanjang 2011 nanti. Itu yang lebih penting berbanding berpusu-pusu menanti detik 2011 yang bercampur gaul dengan sambutan ala orang-orang barat.

Tahun baru membawa erti diri ini semakin hampir dengan kematian.

Thursday, December 30, 2010

7 Tanda anda akan gagal di universiti (1)

Tanda 1

Mari kita mulakan dengan tanda yang pertama. Anda berkemungkinan besar akan gagal di universiti jika anda ’susah tidur malam dan susah bangun pagi.

Susah tidur malamSemasa pelajar tinggal bersama ibu bapa di rumah, mereka mengikut jadual rumah di mana selepas pukul 10, 11 atau 12 semua ahli keluarga akan masuk tidur. Namun di universiti, tidak ada sesiapa yang mahu menjaga waktu tidur anda. Jika anda mahu menonton televisyen sampai pukul 3 pagi, tidak ada siapa pun ambil peduli. Jika anda mahu memetik gitar hingga subuh, mungkin semua orang hanya akan memekakkan telinga masing-masing.

Apa akibat jika anda susah tidur malam? Ya, sudah tentu anda akan susah bangun pagi. Satu komen paling banyak saya terima mengenai masalah hidup di universiti ialah kelas bermula terlalu awal. Awal? Pukul berapa? 8 pagi…. Hmm… bukan sahaja pelajar lelaki yang merungut, pelajar perempuan turut sama merungut. Mereka tidak suka kelas pada awal pagi kerana mereka masih seronok tidur ketika itu. (Mereka lupa semasa di sekolah rendah dan menengah dulu, mereka berada di sekolah seawal 7 hingga 7.30 pagi)

Saya selalu tanya, kalau pukul 8 pagi tu terlalu awal, pukul berapa anda bangun? Ramai yang dengan nada serba salah berkata mereka bangun lebih kurang pukul 6.30 pagi, sembahyang subuh dan tidur semula. Sayang sekali, saya percaya itu tidak benar. Kalau pukul 8 dianggap awal, kebanyakan pelajar sebenarnya tidak dapat bangun untuk sembahyang subuh setiap hari. Dalam erti kata lain, satu ungkapan yang selalu digunakan untuk keadaan ini ialah ‘Subuh Gajah’. Malah ada yang ‘upgrade’ ungkapan itu kepada ‘Subuh Dinosor’. Mengapa saya kata begitu?

Bayangkan, jika anda bangun pukul 6.30 pagi, pergi ke bilik air, ambil sembahyang, sembahyang dengan baik, bukankah rasa mengantuk itu akan hilang? Gagal bangun untuk Subuh adalah lebih dahsyat daripada gagal atau lewat menghadiri kelas. Sembahyang Subuh adalah penguji kekuatan disiplin dan ketaatan umat Islam. Jika ini sudah gagal, banyak perkara lain yang boleh dijangka gagal juga.

Satu perkara yang agak jelas bagi saya, jika saya jalankan program untuk pelajar yang ketinggalan dari segi akademik (terutamanya pelajar lelaki), program itu juga dihadiri dalam keadaan mengantuk. Dari air muka mereka yang sedikit pucat dan tidak bermaya boleh memberi gambaran yang mereka tidur sangat lewat sebelumnya. Adakah tidur lewat kerana belajar? Jauh sekali. Jika aset yang paling penting untuk belajar (iaitu otak) tidak dapat berfungsi dengan baik untuk belajar disebabkan tidur lewat dan mengantuk, apakah peluangnya untuk pelajar mendapat sesuatu daripada sesi pembelajaran? Kemungkinannya menghampiri sifar.

Jadi untuk permulaan, mari tanya diri kita, adakah kita susah untuk tidur malam dan susah untuk bangun pagi? Jika anda ada tanda ini, fikirkan mengapa anda susah tidur malam. Kita sambung perbincangan ini dalam posting seterusnya.

7 Tanda anda akan gagal di universiti

Pembuka kata

Oleh: Osman Affan

Kali ini mesej tulisan saya mungkin agak berbeza. Saya sebenarnya tidak berapa suka bercerita tentang perkara dalam bentuk negatif kerana ia akan mempengaruhi cara saya berfikir nanti. Namun, kali ini cara bercerita begini adalah perlu memandangkan beberapa situasi yang saya kerap lihat di universiti.

Gagal berucapSejak tahun 2005, saya sudah aktif menjalankan program-program motivasi dan teknik belajar di peringkat universiti. Apa yang saya lihat ialah memang ada pelajar yang tergolong dalam pelajar yang berdisiplin, cemerlang dan bercita-cita tinggi. Namun realitinya, lebih ramai lagi sebenarnya pelajar di universiti yang berfikiran negatif, malas, tidak ada cita-cita, terlalu selesa, tidak yakin diri, tidak mahu mencuba, lemah semangat, takut gagal dan sebagainya lagi.

Situasi ini semua menimbulkan rasa bimbang dan tidak senang dalam hati saya. Generasi pelajar di universiti sekarang ini adalah generasi yang akan membentuk dan memimpin negara kita dalam 10 hingga 20 tahun akan datang, generasi yang bakal memimpin anak-anak saya. Tetapi layakkah mereka menerajui negara jika majoritinya masih sukar untuk bangun pagi jika tidak dikejut atau dipaksa? Layakkah mereka jika bila lihat buku tebal sedikit pun sudah lemah semangat? Lebih membimbangkan lagi, layakkah mereka jika mereka diberi cabaran lalu mengalah, menarik diri dan langsung tidak mahu mencuba?

Telah beberapa hari saya duduk seorang diri mengkaji semula semua pengalaman dan situasi yang saya temui ketika berhadapan dengan pelajar di universiti. Setelah saya senaraikan semua masalah yang pernah saya temui, saya senaraikan 7 tanda-tanda seseorang pelajar mungkin GAGAL di universiti.

GAGAL bukan hanya bermaksud gagal mendapat segulung ijazah. Jika anda ada tanda-tanda ini, anda mungkin masih boleh hadiri hari graduasi tetapi anda

  • Gagal menjadi orang berilmu.
  • Gagal menjadi seorang yang berkeyakinan tinggi.
  • Gagal menjadi seorang yang berkarisma dan boleh dihormati.
  • Gagal menyerlah.
  • Gagal memenuhi potensi sebenar diri sendiri.
  • Gagal mencapai cita-cita sebenar.
  • Gagal mencapai kejayaan dan kebahagiaan yang pernah diimpikan.
  • Gagal mengejar kekayaan.
  • Gagal dalam memenuhi impian dan harapan ibu bapa.
  • Gagal menjadi contoh yang baik kepada orang-orang disekeliling.

Senarai kegagalan itu tidak akan habis agaknya jika difikirkan berterusan.

GagalJika anda sakit dan pergi berjumpa doktor, tentu doktor akan cuba mencari tanda-tanda atau simptom penyakit yang anda ada. Jika anda ada beberapa tanda sekaligus untuk penyakit demam denggi contohnya, sudah hampir pasti anda sedang mengidap penyakit tersebut.

Sama seperti tanda-tanda yang bakal saya kongsikan ini. Jika anda ada lebih daripada 2 atau 3 anda, lebih anda lakukan sesuatu. Jika tidak, tentu orang lain akan dapat meneka apakah kesudahan anda di universiti iaitu…….GAGAL!

Kita akan mulakan dalam posting seterusnya.:)

HIMPUNAN MAHASISWA MALAYSIA


Tema : 'Mahasiswa Untuk Malaysia'

Tempat : Padang Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Selangor

Masa : 8.00 pagi - 1.00 tengahari

OBJEKTIF HIMPUNAN :

1) Menghimpunkan mahasiswa Malaysia sebagai tanda solidariti di bawah semangat patriotisme

2) Merangka deklarasi Mahasiswa Malaysia bersempena dengan kedatangan tahun baru 2011

3) Memberikan mesej kepada masyarakat bahawa mahasiswa bersama-sama dengan masyarakat Malaysia

4) Memberi gambaran kepada masyarakat bahawa segala tindakan yang dilakukan oleh mahasiswa adalah berdasarkan rasa tanggungjawab terhadap Negara.


MEKANISME HIMPUNAN :

1) Melakar secara beramai-ramai banner dengan tema jalur gemilang

2) Melakar secara beramai-ramai banner dengan tulisan tema himpunan
“Mahasiswa Untuk Malaysia”

3) Pidato mahasiswa berantai

4) Edaran memorandum Mahasiswa Untuk Malaysia (untuk ditandatangani semua peserta)

5) Pengisytiharan deklarasi mahasiswa 1.1.11


TENTATIF HIMPUNAN :

MASA
AKTIVITI
PERINCIAN
8.00 pagi
Berkumpul dan Pendaftaran
· Mahasiswa akan berkumpul di dataran utama.Pendaftaran peserta yang hadir
8.30 pagi
Taklimat program
· Taklimat perjalanan program
· Koordinasi hadirin untuk senam erobik. (Pengasingan peserta lelaki dan wanita)
9.30 pagi
Senaman
· Mahasiswa akan bersenam secara beramai-ramai
10.00 pagi
Aktiviti Utama
· Peserta himpunan akan mula melakar banner seperti yang di tetapkan
· Peserta lelaki akan melakar banner dengan tema himpunan
· Peserta wanita akan melakar banner dengan tema jalur gemilang
11.00 pagi
Perasmian: Dato Saifuddin Abdullah
· Acara perasmian bermula dengan ucapan terusDato’ Saifuddin Abdullah,Timbalan Menteri Pengajian Tinggi.
11.45 pagi
Anugerah Ikon Mahasiswa
· Penyampaian anugerah kepada ikon mahasiswa 2010 oleh Y.A.B Dato Saifuddin Abdullah

Pemidato 1 : GAMIS (Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia)
· Ahmad Syazwan Hassan,
Presiden GAMIS
Pemidato 2 : SMM (Solidariti Mahasiswa Malaysia)
· Shazni Munir Mohd Ithnin,
Presiden SMM
Pemidato 3 : DEMA (MalaysiaYouth and Students Democratic Movement)
· Ryan Gan,
Setiausaha Hubungan Antarabangsa DEMA
Pemidato 4 : PKPIM (Persatuan Kebangsaan Pelajar IslamMalaysia)
· Abu Qasim Nur Azmi,
Naib Presiden Antarabangsa PKPIM
Pemidato 5 : KAMI (Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen)
· Hilman Idham,
Presiden KAMI
Pemidato 6 : KARISMA (Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia)
· Abdullah Omar Muhamad Fuad,
Presiden KARISMA
Pemidato 7 : MPMN (Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional)
· Mohd Fadzil Bin Jamal,
Timbalan MPMN
Pemidato 8 : WAKIL PSM (Pemuda Sosialis Malaysia)
· Kartiges,
Presiden Pemuda Sosialis Malaysia
Pemidato 9 : SIGMA (Srikandi Gerakan Muslimat Muda)
· Nazirah Abu Bakar,
Presiden SIGMA
Pemidato 10 : WAKIL MAHASISWA
· Terbuka kepada umum
1.30 ptg
Pengisytiharan Deklarasi
· Pengarah Program akan membacakan deklarasi mahasiswa kepada semua peserta yang hadir
1.45 ptg
Penutup
· Nyanyian Lagu Negaraku
· Laungan keramat mahasiswa

PENYERTAAN INI TERBUKA KEPADA MAHASISWA/I IPTA/IPTS YANG BERADA DI DALAM MAHUPUN DI LUAR NEGARA, BARISAN KEPIMPINAN KAMPUS DAN BADAN-BADAN BEBAS PENGERAK MAHASISWA NASIONAL.


JANGAN LEPASKAN PELUANG MENYERTAI AKTIVITI YANG MENARIK & ANDA JUGA TURUT BERPELUANG BERSAMA PIMPINAN MAHASISWA YANG HADIR

*Seluruh mahasiswa tanah air, badan-badan perwakilan pelajar, kelab, persatuan mewakili mahasiswa di peringkat nasional mahupun kampus dijemput hadir.

Wednesday, November 10, 2010

Penat belajar, penat lagi jika tidak belajar.


Oleh: Osman Affan

Kerap kali saya mendengar rungutan pelajar mahupun orang dewasa tentang betapa penatnya mahu belajar sesuatu. Pelajar di peringkat sekolah mengadu betapa penatnya belajar 8 hingga 10 subjek. Pelajar di peringkat universiti mengadu betapa penatnya membuat 5-8 assignments dalam satu semester. Orang dewasa yang sudah bekerja pula merungut betapa penatnya mahu belajar teori-teori baru atau cara baru melakukan sesuatu kerja.

Satu perkara yang pasti, merungut memang seronok dilakukan. Ia membuat kita rasa lega. Ia membuat kita rasa puas. Terasa kita patut diberi simpati dan belas kasihan. Terasa semua orang perlu faham situasi kita dan mungkin cuba kurangkan sedikit beban yang kita rasa kita tanggung selama ini. Namun, perlu difikirkan, apabila kita merungut, adakah beban belajar itu menjadi semakin ringan?

Sebagai contoh, apabila kita sedang beratur di pejabat pos untuk membayar sesuatu dan barisannya terlalu panjang dan bergerak terlalu perlahan, adakah ia akan berubah jika terus-menerus merungut?

Sudah tentu tidak bukan?

Satu perkara yang perlu kita ingat (jika sudah lupa) dan sedar (jika masih juga tidak sedar ) ialah merungut tidak menyelesaikan masalah. Malah ia membuat sesuatu masalah kelihatan lebih besar daripada keadaan asalnya. Cara mudah untuk tidak merungut ialah jangan beri apa-apa komen dan fokuskan minda kepada perkara-perkara lain yang boleh menarik perhatian dan menenangkan hati kita.

Sebagai contoh, semasa beratur panjang di pejabat pos tadi, alternatif kepada merungut ialah fokuskan mata kepada apa yang ada di sekeliling. Lihat pada sesuatu yang boleh menarik perhatian kita seperti hiasan di tempat itu, banner iklan, gelagat orang berbual-bual, perangai kanak-kanak yang berlari-lari dan sebagainya. Timbulkan rasa seronok dalam diri semasa melihat perkara-perkara tersebut. Cuba lakukan tips ini dan lihat apa yang berlaku kepada barisan yang panjang tadi? Setidak-tidaknya, apa yang berlaku kepada rasa hendak merungut yang tidak mendatangkan faedah tadi?

Perkara kedua yang perlu difikirkan ialah jika kita terasa belajar itu penat, tahukah kita bahawa tidak belajar itu jauh lebih memenatkan?

Bayangkan kali pertama kita dihadiahkan sebuah basikal. Dengannya, kita boleh pergi ke sekolah sendiri dengan lebih cepat. Malah kita boleh pergi ke mana-mana menggunakan basikal tersebut. Masalahnya, kita perlu belajar dahulu bagaimana hendak menunggangnya. Bukan sahaja ia susah pada mulanya malah menyakitkan. Berapa banyak luka di kaki dan tangan kita akibat terjatuh. Berapa kali agaknya kita menangis atau menyumpah-seranah kerana basikal itu tidak mahu mendengar kata. Susah bukan?

Namun, apa akan jadi kalau kita tidak mahu penat belajar menunggang basikal? Adakah berjalan kaki ke sekolah kurang memenatkan?

Pelajar yang merungut belajar itu memenatkan barangkali tidak pernah terfikir apa akan jadi beberapa tahun akan datang. Bayangkan kita rasa penat dan mahu berhenti belajar. 20 tahun akan datang kita akan terjumpa semula rakan-rakan sekelas atau satu sekolah. Mereka semua meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Mereka semua sama ada berkerjaya professional atau menjadi usahawan yang sangat berjaya.

Mereka mengumpul kejayaan, kekayaan dan kebahagiaan dalam masa yang cepat dan singkat. Tidakkah ia memenatkan hati dan perasaan kita melihat ini semua sedangkan kita terkial-kial untuk membayar bil setiap bulan? Tidakkah ia memenatkan semangat dan azam dalam diri kita apabila kita tahu yang usaha kita (tanpa pendidikan) sukar membawa kita ke mana-mana?

Bagi orang dewasa yang terasa penat mempelajari ilmu baru pula, tidakkah ia memenatkan apabila kita asyik gagal dalam apa yang kita lakukan? Bukankah ia semakin memenatkan apabila kita tersedar bahawa kita asyik melakukan kesilapan yang sama sejak 20 tahun yang lalu?

Jadi, pesan saya buat diri saya sendiri, adik-adik pelajar dan rakan-rakan seperjuangan, lebih baik penat kerana belajar sekarang daripada penat menyesal di kemudian hari. Penat belajar mungkin hanya beberapa gram sahaja dibandingkan dengan penat menyesal beberapa tan.

Saya ucapkan, selamat belajar ilmu yang baru. Selamat berhenti merungut dan fokus minda kepada sesuatu yang menarik minat kita dan akhir sekali, selamat menempuh cabaran demi mencapai kejayaan!

Sumber: http://www.motivasibelajar.com/

P/s: Selamat bercuti semester daripada kami, PMFSKB kepada semua mahasiswa/i fskb. Isilah cuti anda dengan aktiviti yang berfaedah, pelajari 'ilmu-ilmu' baru yang kita tidak boleh dapat di universiti.

Tuesday, October 12, 2010

GEMPUR MINDA!


Musim peperiksaan menjelang lagi!!!
Seronok? Berdebar? Tenson? Bercampur-baur?
Itulah fitrah manusia, sulaman perasaan dicorak sendiri untuk menghiasi seni kehidupan.

Ini bukan yang pertama dan bukan juga yang terakhir untuk kita… pengalaman dan perkenalan kita dengan peperiksaan ini bukannya baru, tetapi setiap kali menghadapi peperiksaan dirasakan seperti satu pengalaman yang baru, perasaan yang baru dan pengharapan yang baru. Inilah hebatnya kesan peperiksaan keatas diri pelajar. Ibarat cinta yang tidak pernah lentur dek masa.

Oleh itu, satu program telah dirancang untuk anda semua..
GEMPUR MINDA!!!
Ya..penat lelah dah belajar..tapi sudah cukupkah?



p/s: pakaian sopan, bawa pen dan catatan, dibawakan khas untuk anda oleh www.aminidris.com

Monday, October 11, 2010

Petua Pelajar Cemerlang.


Mungkin ramai tertanya-tanya, mengapa mereka masih tidak mencapai kecemerlangan walaupun telah mentelaah mata pelajaran berjam-jam sehari?

Menjadi seorang yang cemerlang adalah idaman setiap pelajar. Namun tidak ramai menyedari bahawa untuk menjadi seorang yang cemerlang, usaha bukan hanya tertumpu kepada mentelaah buku semata-mata, tetapi juga melibatkan rangkaian beberapa usaha lain.

Pernahkah mereka terfikir bahawa usaha itu harus diselangi dengan doa, memperbaiki diri sebagai insan dan sebagainya.

Di sini disenaraikan beberapa tip membentuk diri menjadi seorang pelajar yang cemerlang sekali gus membentuk diri menjadi insan yang disenangi ramai.

Sentiasa berfikiran positif

Berfikiran positif membantu pelajar membina imej yang meyakinkan, seterusnya membawa perubahan yang baik terhadap pelajaran dan kendiri. Berfikiran positif juga menjadikan pelajar sentiasa ceria dan seronok belajar. Ini boleh membantu proses pembelajaran. Namun, jangan terlebih seronok, nanti orang tersalah anggap pula. Orang yang berfikiran negatif pula mempunyai 10 kali ganda peluang mendapat sakit berbanding dengan mereka yang berfikiran positif.

Nyatakan matlamat

Sentiasa sasarkan satu matlamat sebelum melakukan sesuatu kerana mereka yang mempunyai matlamat lebih mudah mencapai kejayaan yang mereka ingini. Matlamat yang jelas dan hebat dapat membakar semangat. Pastikan matlamat yang diletakkan itu adalah satu matlamat yang membina. Namun, matlamat tanpa usaha tidak membawa erti apa-apa.

Menjaga kesihatan fizikal dan mental

Menjaga kesihatan adalah yang paling utama supaya pelajar berada dalam kondisi yang terbaik untuk menimba ilmu. Apabila badan dan minda berada dalam keadaan terbaik, pembelajaran akan mudah diterima. Sering bersenam dan berfikiran positif. Elakkan stres yang melampau dan sesekali cuba melakukan aktiviti riadah supaya diri dapat mencapai ketenangan yang ideal. Terlalu berfikir mengenai pembelajaran dan kejayaan juga boleh mengakibatkan minda pelajar menjadi sangat stres. Cuba elakkannya dengan mencari jalan terbaik untuk mengulangkaji pelajaran.

Menjaga pemakanan

Aspek pemakanan juga harus dititik beratkan kerana pemakanan yang seimbang penting bagi menjana pemikiran yang cerdas dan memori yang tajam.

Pelajar boleh mengingati sehingga 90 peratus bahan yang dipelajari apabila diaplikasikan ketika menjawab soalan berkaitan dengan bahan yang dibaca.

Cara belajar yang baik

Belajar dengan baik tidak semestinya mentelaah dari pagi hingga malam. Pelajar harus tahu bagaimana untuk belajar mengikut kesesuaian diri. Ada yang suka belajar secara berkumpulan dan ada yang suka bersendirian. Cari kesesuaian diri anda. Cari tempat tenang untuk belajar. Ramai pelajar suka mentelaah sambil mendengar muzik. Ia adalah perkara yang patut dielakkan kerana belajar sambil mendengar muzik mengurangkan tumpuan dan menghakis keberkatan ilmu. Kaedah belajar paling berkesan adalah dengan melakar peta minda. tetapi cuma 20 peratus pelajar yang belajar menggunakan peta minda.

Bergaul dengan positif

Apabila seseorang mempunyai ramai kawan, maka dia akan mempunyai pandangan yang luas kerana boleh bertukar-tukar pendapat berbanding dengan mereka yang lebih suka menyendiri. Kawan boleh menegur setiap kesalahan kita kerana kita tidak dapat melihat kekurangan diri. Namun, pelajar juga harus bijak memilih kawan. Peribadi dan prestasi kita sering dipengaruhi oleh kawan-kawan. Justeru, carilah kawan yang positif dan cemerlang.

Bersyukur

Pelajar harus bersyukur dengan setiap hasil yang diterima dalam peperiksaan kerana ia melambangkan usaha yang telah dilakukan. Jangan salahkan orang lain di atas kegagalan yang kita alami. Jangan juga dengki dengan kejayaan orang lain, sebaliknya ringankan mulut untuk bertanya rahsia mereka. Dekatkan diri dengan Tuhan tidak kira apa agama sekali pun. Pelajar juga harus sedia memberi bantuan kepada rakan-rakan lain dan jangan kedekut ilmu. Perbincangan satu kumpulan mampu mendapat keputusan yang terbaik.

Bersedia untuk gagal

Kegagalan adalah lumrah kehidupan. Bersedia untuk mengalaminya kerana disebalik kejayaan, pasti ada kegagalan. Jika kejayaan yang dikecapi itu adalah hasil usaha daripada kegagalan, ia akan lebih bermakna dan diingati. Belajar daripada kesilapan dan cuba cari jalan penyelesaian terbaik untuk memperbaiki kegagalan itu agar ia menjadi kejayaan.

Hargai pendidik

Pendidik adalah tonggak utama kepaa kejayaan seorang pelajar. Cuba tunjukkan penghargaan kepada mereka, bukan sahaja apabila anda mendapat kejayaan yang diingini tetapi juga apabila tiba hari-hari tertentu seperti hari guru atau hari lahir mereka. Doa pendidik sentiasa dimakbulkan Tuhan. Jangan lupa juga kepada ibu bapa kita kerana anak yang derhaka tidak akan mencapai kejayaan.

Usaha yang seimbang

Akhir sekali adalah usaha. Kejayaan tidak datang begitu sahaja tanpa usaha. Namun ia harus diseimbangkan. Jika hanya berusaha mempraktikkan segala tip di atas tanpa mentelaah buku, kejayaan tidak akan dapat dikecapi. Namun, jika hanya menghadap buku tanpa usaha-usaha di atas, kejayaan juga jauh daripada genggaman.



Sunday, October 10, 2010

Ikuti perkembangan VP5

Pada Ramadhan yang lalu, satu kutipan tabung 'Untukmu Palestin' telah dijalankan. Hasil kutipan sebanyak RM1020.00. Sumbangan telah diserahkan kepada pihak Viva Palestina Malaysia untuk misi yang kini sedang berjalan, iaitu Viva Palestina 5(VP5). Terima kasih kami ucapkan kepada para penyumbang. Di sini sedikit maklumat berkaitan misi...


Sebagaimana sedia maklum Konvoi misi kemanusiaan ke Gaza VP5 telah bergerak menuju Gaza melalui Benua Eropah. Misi ini yang disertai oleh Viva Palestina Malaysia menyumbang sebanyak 6 buah kenderaan yang akan digunakan sebagai ambulans di Gaza bersama dengan muatan bekalan keperluan dan ubat-ubatan. Sumbangan ini diserahkan melalui VP UK - penganjur utama kepada misi VP5 (Viva Palestina mission 5). Convoy bertolak dari kota London pada 18 September yang lalu.


Para pengunjung boleh mengikuti perkembangan misi ini dengan melayari laman-laman yang disenaraikan di bawah. Peta yang memantau perjalanan konvoi juga turut dimuatkan.