Oleh: Osman Affan
Kerap kali saya mendengar rungutan pelajar mahupun orang dewasa tentang betapa penatnya mahu belajar sesuatu. Pelajar di peringkat sekolah mengadu betapa penatnya belajar 8 hingga 10 subjek. Pelajar di peringkat universiti mengadu betapa penatnya membuat 5-8 assignments dalam satu semester. Orang dewasa yang sudah bekerja pula merungut betapa penatnya mahu belajar teori-teori baru atau cara baru melakukan sesuatu kerja.
Satu perkara yang pasti, merungut memang seronok dilakukan. Ia membuat kita rasa lega. Ia membuat kita rasa puas. Terasa kita patut diberi simpati dan belas kasihan. Terasa semua orang perlu faham situasi kita dan mungkin cuba kurangkan sedikit beban yang kita rasa kita tanggung selama ini. Namun, perlu difikirkan, apabila kita merungut, adakah beban belajar itu menjadi semakin ringan?
Sebagai contoh, apabila kita sedang beratur di pejabat pos untuk membayar sesuatu dan barisannya terlalu panjang dan bergerak terlalu perlahan, adakah ia akan berubah jika terus-menerus merungut?
Sudah tentu tidak bukan?
Satu perkara yang perlu kita ingat (jika sudah lupa) dan sedar (jika masih juga tidak sedar ) ialah merungut tidak menyelesaikan masalah. Malah ia membuat sesuatu masalah kelihatan lebih besar daripada keadaan asalnya. Cara mudah untuk tidak merungut ialah jangan beri apa-apa komen dan fokuskan minda kepada perkara-perkara lain yang boleh menarik perhatian dan menenangkan hati kita.
Sebagai contoh, semasa beratur panjang di pejabat pos tadi, alternatif kepada merungut ialah fokuskan mata kepada apa yang ada di sekeliling. Lihat pada sesuatu yang boleh menarik perhatian kita seperti hiasan di tempat itu, banner iklan, gelagat orang berbual-bual, perangai kanak-kanak yang berlari-lari dan sebagainya. Timbulkan rasa seronok dalam diri semasa melihat perkara-perkara tersebut. Cuba lakukan tips ini dan lihat apa yang berlaku kepada barisan yang panjang tadi? Setidak-tidaknya, apa yang berlaku kepada rasa hendak merungut yang tidak mendatangkan faedah tadi?
Perkara kedua yang perlu difikirkan ialah jika kita terasa belajar itu penat, tahukah kita bahawa tidak belajar itu jauh lebih memenatkan?
Bayangkan kali pertama kita dihadiahkan sebuah basikal. Dengannya, kita boleh pergi ke sekolah sendiri dengan lebih cepat. Malah kita boleh pergi ke mana-mana menggunakan basikal tersebut. Masalahnya, kita perlu belajar dahulu bagaimana hendak menunggangnya. Bukan sahaja ia susah pada mulanya malah menyakitkan. Berapa banyak luka di kaki dan tangan kita akibat terjatuh. Berapa kali agaknya kita menangis atau menyumpah-seranah kerana basikal itu tidak mahu mendengar kata. Susah bukan?
Namun, apa akan jadi kalau kita tidak mahu penat belajar menunggang basikal? Adakah berjalan kaki ke sekolah kurang memenatkan?
Pelajar yang merungut belajar itu memenatkan barangkali tidak pernah terfikir apa akan jadi beberapa tahun akan datang. Bayangkan kita rasa penat dan mahu berhenti belajar. 20 tahun akan datang kita akan terjumpa semula rakan-rakan sekelas atau satu sekolah. Mereka semua meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Mereka semua sama ada berkerjaya professional atau menjadi usahawan yang sangat berjaya.
Mereka mengumpul kejayaan, kekayaan dan kebahagiaan dalam masa yang cepat dan singkat. Tidakkah ia memenatkan hati dan perasaan kita melihat ini semua sedangkan kita terkial-kial untuk membayar bil setiap bulan? Tidakkah ia memenatkan semangat dan azam dalam diri kita apabila kita tahu yang usaha kita (tanpa pendidikan) sukar membawa kita ke mana-mana?
Bagi orang dewasa yang terasa penat mempelajari ilmu baru pula, tidakkah ia memenatkan apabila kita asyik gagal dalam apa yang kita lakukan? Bukankah ia semakin memenatkan apabila kita tersedar bahawa kita asyik melakukan kesilapan yang sama sejak 20 tahun yang lalu?
Jadi, pesan saya buat diri saya sendiri, adik-adik pelajar dan rakan-rakan seperjuangan, lebih baik penat kerana belajar sekarang daripada penat menyesal di kemudian hari. Penat belajar mungkin hanya beberapa gram sahaja dibandingkan dengan penat menyesal beberapa tan.
Saya ucapkan, selamat belajar ilmu yang baru. Selamat berhenti merungut dan fokus minda kepada sesuatu yang menarik minat kita dan akhir sekali, selamat menempuh cabaran demi mencapai kejayaan!
Sumber: http://www.motivasibelajar.com/
P/s: Selamat bercuti semester daripada kami, PMFSKB kepada semua mahasiswa/i fskb. Isilah cuti anda dengan aktiviti yang berfaedah, pelajari 'ilmu-ilmu' baru yang kita tidak boleh dapat di universiti.
No comments:
Post a Comment