IMAM SYAFI’E 1...Menyebut nama beliau tiada yang terlintas di fikiran
melainkan kehebatan yang telah dikurniakan kepada beliau iaitu daya hafalan
yang sangat kuat. Sedikit perkongsian
mengenai hidup beliau yang saya ingin kongsikan semoga kita dapat
mencontohinya...
Pada satu
hari beliau meminta izin daripada ibunya untuk keluar menuntut ilmu di Madinah.
Ia merupakan kali pertama Imam Syafie keluar daripada tempat kelahirannya
Makkah dan mengembara untuk meluaskan ilmu.
Apabila tiba di Madinah, beliau terus menuju ke Masjid
Nabawi dan menunaikan solat sunat dua rakaat. Setelah selesai solat, beliau
terpandang satu majlis ilmu yang disampaikan oleh seseorang yang sangat hebat
dalam masjid tersebut. Orang tersebut sedang bersyarah di hadapan begitu ramai
anak-anak muda yang kesemuanya khusyuk mendengarnya. Orang itu ialah Imam Malik
yang sedang mengajar murid-muridnya tentang hadis-hadis Rasulullah SAW.
Dengan langkah yang tertib, Imam Syafie terus menuju ke tempat Imam Malik dan
duduk bersama murid-murid beliau. Imam Syafie lantas mengambil sebatang lidi
lalu membasahkannya dengan air liur. Kerana kehidupannya yang serba miskin,
beliau telah menulis segala apa yang diajar oleh Imam Malik di atas tapak
tangannya. Tanpa disedari, Imam Malik memerhati segala tingkah lakunya.
Selesai pengajian, Imam Malik memanggil Imam Syafie untuk menegur beliau.
Sangkanya Imam Syafie berbuat perkara kurang sopan ketika belajar. Imam Malik
bertanya, "Apakah kamu berasal dari Makkah?" Jawab Imam Syafie,
"Benar". Imam Malik bertanya lagi, "Mengapakah engkau
bermain-main dengan lidi dan air liurmu semasa aku sedang mengajar?" Jawab
Imam Syafie, "Maaf tuan. Sebenarnya saya tidak bermain-main. Oleh kerana
saya tidak ada kertas dan pena, segala yang tuan ajar saya tulis di atas tapak
tangan saya menggunakan lidi dan air liur untuk menghafalnya".
Apabila Imam Malik membelek-belek tangan Imam Syafie, beliau tidak menjumpai
sebarang tulisan pun. Beliau terus berkata, "Tetapi kenapa tapak tangan
engkau kosong sahaja?"
Kata Imam Syafie, "Benar tuan. Namun demikian, saya telahpun menghafal
kesemua hadis-hadis yang tuan riwayatkan itu".
Setelah beliau disuruh membaca apa yang dihafalnya, Imam Malik mendapati tidak
ada satu pun hadis yang tertinggal daripada 20 hadis yang diajar hari itu.
Perkara yang aneh ini belum pernah terjadi sebelumnya. Imam Malik begitu
tertarik hati dengan kebijaksanaannya.
2. Imam as-Syafie sangat mengutamakan
pengetahuan dan disiplin. Beliau
membahagikan waktu malamnya kepada tiga
bahagian:
i.1/3 malam untuk berehat.
ii.1/3 malam untuk menulis ilmu
pengetahuan.
iii.1/3 malam untuk
beribadat.
3. Imam al-Syafie pernah bersyair:
Aku mengadukan kepada Waki’ (guru beliau) tentang buruknya hafalan
Maka beliau membimbingku untuk meninggalkan perbuatan maksiat
Dan berkata, ‘Ketahuilah bahwa ilmu adalah cahaya
Dan cahaya ALLAH tidak diberikan kepada pelaku maksiat’
Barangsiapa ingin agar Allah membukakan hatinya
atau meneranginya, maka dia harus meninggalkan pembicaraan yang tidak
bermanfaat, meninggalkan dosa-dosa, menghindari perbuatan-perbuatan maksiat dan
menyembunyikan amalan yang dikerjakan antara dia dan Allah.
Jika dia mengerjakan hal tersebut, maka Allah
akan membukakan ilmu baginya yang akan menyibukkan dia dari yang lainnya.
Sesungguhnya dalam kematian terdapat perkara
yang menyibukkan.”