
“ MAHASISWA BERKHIDMAT, MEMPERKASA MASYARAKAT SIHAT ”

“ MAHASISWA BERKHIDMAT, MEMPERKASA MASYARAKAT SIHAT ”
Tanda 3
Tanda ketiga yang anda perlu perhatikan ialah ‘ tidak bawa payung, salahkan hujan’. Ini adalah ditujukan kepada pelajar yang suka menuding jari untuk menyalahkan orang lain di atas kesilapan dan kelemahan diri sendiri.
Saya pernah coretkan sedikit tulisan mengenai tanda ini hampir 2 tahun lalu di blog ini. Apa kata kita lihat kembali. Ketika itu saya tulis, ‘anda adalah orang yang sangat malang jika…
Mungkin situasi yang saya bayangkan kelihatan agak ekstrem dan keterlaluan. Anda tidak mungkin mempunyai ciri-ciri begitu bukan? Namun pernahkah anda ada rasa anda dapat gred yang tidak baik kerana pensyarah anda membosankan, tidak pandai menarik perhatian dan tidak pandai menerangkan sesuatu dengan jelas? Pernahkah anda merungut atau terfikir, “pensyarah aku ni tak pernah belajar teknik presentation ke?” Akibat rungutan ini, anda mula tidak berminat apa yang pensyarah anda ajarkan. Apa kata kita lihat situasi sebenar di universiti pula.
Apa kata hari ini anda fikirkan sejenak semua rungutan dan keluhan yang pernah diluahkan atau terlintas di hati anda. Fikirkan juga jika ini adalah tanda bahawa anda akan gagal di universiti.
Tanda 2.1
Adakah anda takut untuk mencuba? Adakah anda takut untuk salah? Pelajar-pelajar yang takut mencuba mempunyai kehebatan yang sama dengan semua pelajar cemerlang dan berjaya. Namun disebabkan mereka takut mencuba, mereka tidak dapat kecapi kejayaan. Bayangkan ada sepinggan kuih di hadapan anda. Walau sedap bagaimanapun kuih itu, anda tidak akan dapat merasainya jika anda tidak cuba atau usahakan untuk menyuapkannya ke dalam mulut anda.
Takut dan tidak mahu mencuba ini juga adalah tanda seseorang pelajar itu bakal menghadapi kesukaran untuk menuntut ilmu yang baru. Contohnya, baru sahaja lihat buku yang agak tebal, mereka sudah takut dan tidak mahu ‘cuba’ membuka atau membacanya.
Di dalam program saya bersama pelajar universiti, saya ada berikan satu cabaran untuk menghafal sekumpulan nombor yang panjang. Kadangkala saya berikan 20 digit nombor untuk dihafal dan kadangkala saya berikan 40 digit. Selepas saya berikan beberapa minit untuk pelajar menghafal, saya akan turut sama menghafal. Namun, saya lebih suka memerhatikan gelagat pelajar yang sedang menghafal.
Jika di hadapan saya ialah pelajar-pelajar yang selalu mendapat keputusan cemerlang dan aktif dalam aktiviti universiti, mereka selalunya kelihatan bersemangat, bersungguh-sungguh dan ceria semasa cuba menghafal nombor-nombor tersebut. Namun kalau program itu untuk pelajar yang kurang cemerlang, bermasalah disiplin dan berada dalam situasi bakal di buang universiti, mereka langsung tidak ada kesungguhan untuk mencuba. Mereka lihat nombor-nombor itu terlalu susah untuk dihafal lalu mereka tidak mahu langsung mencuba untuk menghafalnya.
Jika mereka hafal, mereka MUNGKIN gagal atauMUNGKIN berjaya untuk menghafal kesemuanya. Namun jika mereka tidak cuba hafal, mereka memang sudah GAGAL.
Jadi, apa kata kita kaji sikap dan cara kita berfikir selama ini. Adakah bimbangkan salah atau gagal menghalang kita daripada melakukan sesuatu yang baru, sesuatu yang hebat dan sesuatu yang bakal merubah masa depan kita? Adakah kita lebih sanggup berdiam diri daripada diketawakan apabila gagal menyampaikan idea kita dengan baik? Adakah kita lebih sanggup berdiri di belakang tabir sepanjang hayat daripada malu berada dihadapan pentas buat seketika? Mari sama-sama kita fikirkan.
Tanda 2
Tanda kedua yang perlu anda perhatikan ialah ‘Takut salah, tidak mahu mencuba.’
Ada satu perangai pelajar di universiti yang turut membimbangkan saya dan beberapa rakan saya yang bekerja sebagai pensyarah. Kebanyakan mereka terlalu takut buat salah hingga langsung tidak mahu mencuba. Contohnya, jika di dalam program, saya akan minta pelajar teka jawapan kepada satu soalan sama ada A atau B. Ada yang mengangkat tangan untuk A dan ada yang mengangkat tangan untuk B.
Namun, begitu ramai sekali yang langsung tidak mengangkat tangan. Kata mereka mereka tidak pasti. Bagi saya, masalahnya ialah mereka ini tidak boleh membuat keputusan dan takut salah. Daripada salah, lebih baik mereka tidak mengangkat tangan. Bukankah ini satu tabiat yang merugikan?
Siapa yang tidak pernah salah di dunia ini? Jika tidak ada salah, tentu juga tidak ada yang betul. Ada juga pelajar-pelajar ini yang bimbang jika mereka dianggap tunjuk pandai jika menjawab atau mengangkat tangan apabila disoal. Pelik sungguh cara mereka berfikir. Apakah akibat takut buat salah ini?
Apa yang pasti takut buat salah akan membuat pelajar ini tidak akan berani mencuba. Jika mereka pandai melukis, mereka tidak akan berani masuk pertandingan kerana takut kalah. Jika mereka pandai menulis, mereka tidak akan berani menulis kerana bimbang orang tidak suka hasil tulisan mereka. Jika mereka banyak idea, mereka tidak akan berani luahkan kerana takut orang tidak bersetuju dengan idea mereka.
Ini bermakna, tidak berani mencuba sama dengan tidak berani berjaya (Tidak berani cuba = tidak berani berjaya). Jika hendak berjaya pun tidak berani, apakah mereka akan kecapi kejayaan? Jauh sekali.
Sejarah telah banyak membuktikan kejayaan datangnya daripada kebijaksanaan. Kebijaksanaan datangnya daripada pengalaman. Dan pengalaman pula datangnya daripada kegagalan. Jadi, mengapa anda harus takut GAGAL? Mengapa anda harus takut kalau ‘terbuat’ salah??
