
Tuesday, January 4, 2011
BENGKEL GRAFIK!!!

Sunday, January 2, 2011
MAKLUMAN KELEWATAN KEMASUKAN BIASISWA JPA

Saudara/Saudari,
MAKLUMAN KELEWATAN KEMASUKAN WANG BIASISWA JABATAN PERKHIDMATAN AWAM (JPA) KEPADA PELAJAR BAGI SEMESTER 2 2010/2011
Dengan segala hormatnya saya merujuk kepada perkara di atas.
2. Untuk makluman saudara/saudari, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah memutuskan tarikh kemasukan wang biasiswa bagi semester 2 2010/2011 untuk pelajar tajaan akan mengalami sedikit kelewatan. Bayaran bagi semester tersebut akan dibuat pada tahun hadapan iaitu di antara pertengahan bulan Januari sehingga bulan Februari 2011. Kelewatan ini adalah kerana Jabatan ini telah diarahkan untuk proses penutupan akaun bagi tahun 2010.
3. Sehubungan dengan itu, Jabatan ini menasihatkan agar para pelajar tajaan JPA mengambil langkah berjimat cermat di dalam menggunakan wang pemberian ibu/bapa/keluarga dan universiti bagi mengelakkan para pelajar mengalami masalah kewangan semaktu memulakan semester baru.
4. Sebarang kesulitan yang dialami oleh saudara/saudari dalam perkara ini amatlah dikesali.
Sekian.
"BERKHIDMAT UNTUK NEGARA"
Unit Latihan Sebelum Perkhidmatan (Dalam Negara)
Bahagian Pembangunan Modal Insan
b.p Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam
Malaysia.
Ikuti:
Sesi pengajian institusi pengajian tinggi bermula September mulai tahun ini.

TEMERLOH, 1 Jan – Pengambilan pelajar bagi mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTAS) dianjakkan dari bulan Julai ke September mulai tahun ini selaras dengan waktu pengambilan pelajar IPT antarabangsa.
Oleh kerana pada masa lalu, tiada keselarasan waktu pengambilan pelajar, IPT tempatan gagal menarik pelajar luar negara menyambung pengajian di negara ini, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah.
Beliau memberitahu pemberita di sini hari ini, bahawa keputusan berkenaan juga bagi mengelak IPTAS di negara ini “kehilangan” pelajar cemerlang lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Apa yang berlaku ketika ini, ramai pelajar cemerlang lulusan SPM membuat keputusan melanjutkan pengajian mereka di luar negara daripada memilih institusi pengajian tinggi tempatan.
“Mereka (lulusan SPM) dilihat tidak mempunyai masa yang cukup untuk memutuskan (memilih) pusat pengajian tinggi terbaik dalam negara selepas keputusan peperiksaan dikeluarkan.
“Akhirnya ramai yang memilih pengajian tinggi swasta di luar negara terutama Singapura,” katanya.
Saifuddin sebelum itu menghadiri majlis perkahwinan anak perempuan pemberita sambilan Bernama, Harun Mohamed iaitu Norhazwani Nadiah dan pasangannya Mohd Harzamie Rahimi. – Bernama
Sumber: themalaysianinsider
7 Tanda anda akan gagal di universiti (1.1)
Tanda 1.1
Sudahkah anda fikirkan mengapa anda sukar untuk tidur malam? Ada pelajar atau usahawan yang sukar tidur malam kerana ada ilham atau idea yang datang mencurah-curah. Ini menyebabkan semangat mereka naik lalu sukar untuk tidur. Namun mereka ini selalunya tidak ada masalah untuk bangun pagi kerana mereka tahu banyak perkara yang boleh mereka capai jika bangun awal pagi.
Ketika saya belajar di peringkat A-Level, saya dapati ada beberapa orang sahabat saya selalu benar ponteng kelas. Untuk mengelakkan dikenakan tindakan, mereka mengambil MC (cuti sakit) dengan seribu satu alasan. Mereka tidak dikenakan tindakan tetapi mereka jauh ketinggalan dari sudut pelajaran. Pernah sekali saya tidur di bilik salah seorang sahabat ini. Semasa saya tidur, saya kerap kali terjaga dan lihat sahabat saya ini belum tidur lagi. Mereka asyik berborak sambil bermain gitar. Apa yang diborakkan? Saya pun tidak pasti. Apa yang saya pasti, mereka tidak tidur sehinggalah lebih kurang pukul 5.30 pagi. Saya tahu kerana saya sudah mula mendengar suara azan. Pelik, apabila sudah azan, mereka mula tertidur.
Dipendekkan cerita, sahabat saya ini gagal dalam peperiksaan A-Level. Dia tidak dapat meneruskan pelajaran ke luar negara walaupun keputusan peperiksaan SPMnya sangat cemerlang. Saya tidak pasti di mana dia berada sekarang. Cuma saya rasa agak terkilan dan bimbang jika ramai lagi pelajar-pelajar yang berpotensi besar seperti sahabat saya ini di universiti-universiti Malaysia sekarang.
Saya semakin bimbang apabila saya mengendalikan program-program untuk pelajar universiti yang mendapat CGPA 2.0 ke bawah. Kebanyakan yang hadir mempunyai tanda-tanda tidak boleh tidur malam. Muka mereka pucat sepanjang program dan mereka kelihatan mengantuk walaupun semasa aktiviti dijalankan. Mereka akan mengantuk sepanjang hari dan kembali segar pada waktu malam. Jadi, mereka tidak akan tidur lagi. Kitaran ini akan berterusan sehingalah mereka keluar daripada universiti. Tidak kiralah keluar pada hari graduasi atau terkeluar awal daripada jangka masa yang ditetapkan.
Jika anda ada tanda ini, berhati-hatilah. Cari jalan bagaimana anda boleh hentikan tanda ini. Dapatkan nasihat kaunselor universiti dan benar-benar usahakan agar tanda ini tidak menghantui hidup anda sepanjang pengajian di universiti.
Deklarasi Mahasiswa 2011 : MAHASISWA UNTUK MALAYSIA !

Friday, December 31, 2010
Selamat Tahun Baru 2011.

Thursday, December 30, 2010
7 Tanda anda akan gagal di universiti (1)
Tanda 1
Mari kita mulakan dengan tanda yang pertama. Anda berkemungkinan besar akan gagal di universiti jika anda ’susah tidur malam dan susah bangun pagi.‘
Semasa pelajar tinggal bersama ibu bapa di rumah, mereka mengikut jadual rumah di mana selepas pukul 10, 11 atau 12 semua ahli keluarga akan masuk tidur. Namun di universiti, tidak ada sesiapa yang mahu menjaga waktu tidur anda. Jika anda mahu menonton televisyen sampai pukul 3 pagi, tidak ada siapa pun ambil peduli. Jika anda mahu memetik gitar hingga subuh, mungkin semua orang hanya akan memekakkan telinga masing-masing.
Apa akibat jika anda susah tidur malam? Ya, sudah tentu anda akan susah bangun pagi. Satu komen paling banyak saya terima mengenai masalah hidup di universiti ialah kelas bermula terlalu awal. Awal? Pukul berapa? 8 pagi…. Hmm… bukan sahaja pelajar lelaki yang merungut, pelajar perempuan turut sama merungut. Mereka tidak suka kelas pada awal pagi kerana mereka masih seronok tidur ketika itu. (Mereka lupa semasa di sekolah rendah dan menengah dulu, mereka berada di sekolah seawal 7 hingga 7.30 pagi)
Saya selalu tanya, kalau pukul 8 pagi tu terlalu awal, pukul berapa anda bangun? Ramai yang dengan nada serba salah berkata mereka bangun lebih kurang pukul 6.30 pagi, sembahyang subuh dan tidur semula. Sayang sekali, saya percaya itu tidak benar. Kalau pukul 8 dianggap awal, kebanyakan pelajar sebenarnya tidak dapat bangun untuk sembahyang subuh setiap hari. Dalam erti kata lain, satu ungkapan yang selalu digunakan untuk keadaan ini ialah ‘Subuh Gajah’. Malah ada yang ‘upgrade’ ungkapan itu kepada ‘Subuh Dinosor’. Mengapa saya kata begitu?
Bayangkan, jika anda bangun pukul 6.30 pagi, pergi ke bilik air, ambil sembahyang, sembahyang dengan baik, bukankah rasa mengantuk itu akan hilang? Gagal bangun untuk Subuh adalah lebih dahsyat daripada gagal atau lewat menghadiri kelas. Sembahyang Subuh adalah penguji kekuatan disiplin dan ketaatan umat Islam. Jika ini sudah gagal, banyak perkara lain yang boleh dijangka gagal juga.
Satu perkara yang agak jelas bagi saya, jika saya jalankan program untuk pelajar yang ketinggalan dari segi akademik (terutamanya pelajar lelaki), program itu juga dihadiri dalam keadaan mengantuk. Dari air muka mereka yang sedikit pucat dan tidak bermaya boleh memberi gambaran yang mereka tidur sangat lewat sebelumnya. Adakah tidur lewat kerana belajar? Jauh sekali. Jika aset yang paling penting untuk belajar (iaitu otak) tidak dapat berfungsi dengan baik untuk belajar disebabkan tidur lewat dan mengantuk, apakah peluangnya untuk pelajar mendapat sesuatu daripada sesi pembelajaran? Kemungkinannya menghampiri sifar.
Jadi untuk permulaan, mari tanya diri kita, adakah kita susah untuk tidur malam dan susah untuk bangun pagi? Jika anda ada tanda ini, fikirkan mengapa anda susah tidur malam. Kita sambung perbincangan ini dalam posting seterusnya.