Wednesday, November 10, 2010

Penat belajar, penat lagi jika tidak belajar.


Oleh: Osman Affan

Kerap kali saya mendengar rungutan pelajar mahupun orang dewasa tentang betapa penatnya mahu belajar sesuatu. Pelajar di peringkat sekolah mengadu betapa penatnya belajar 8 hingga 10 subjek. Pelajar di peringkat universiti mengadu betapa penatnya membuat 5-8 assignments dalam satu semester. Orang dewasa yang sudah bekerja pula merungut betapa penatnya mahu belajar teori-teori baru atau cara baru melakukan sesuatu kerja.

Satu perkara yang pasti, merungut memang seronok dilakukan. Ia membuat kita rasa lega. Ia membuat kita rasa puas. Terasa kita patut diberi simpati dan belas kasihan. Terasa semua orang perlu faham situasi kita dan mungkin cuba kurangkan sedikit beban yang kita rasa kita tanggung selama ini. Namun, perlu difikirkan, apabila kita merungut, adakah beban belajar itu menjadi semakin ringan?

Sebagai contoh, apabila kita sedang beratur di pejabat pos untuk membayar sesuatu dan barisannya terlalu panjang dan bergerak terlalu perlahan, adakah ia akan berubah jika terus-menerus merungut?

Sudah tentu tidak bukan?

Satu perkara yang perlu kita ingat (jika sudah lupa) dan sedar (jika masih juga tidak sedar ) ialah merungut tidak menyelesaikan masalah. Malah ia membuat sesuatu masalah kelihatan lebih besar daripada keadaan asalnya. Cara mudah untuk tidak merungut ialah jangan beri apa-apa komen dan fokuskan minda kepada perkara-perkara lain yang boleh menarik perhatian dan menenangkan hati kita.

Sebagai contoh, semasa beratur panjang di pejabat pos tadi, alternatif kepada merungut ialah fokuskan mata kepada apa yang ada di sekeliling. Lihat pada sesuatu yang boleh menarik perhatian kita seperti hiasan di tempat itu, banner iklan, gelagat orang berbual-bual, perangai kanak-kanak yang berlari-lari dan sebagainya. Timbulkan rasa seronok dalam diri semasa melihat perkara-perkara tersebut. Cuba lakukan tips ini dan lihat apa yang berlaku kepada barisan yang panjang tadi? Setidak-tidaknya, apa yang berlaku kepada rasa hendak merungut yang tidak mendatangkan faedah tadi?

Perkara kedua yang perlu difikirkan ialah jika kita terasa belajar itu penat, tahukah kita bahawa tidak belajar itu jauh lebih memenatkan?

Bayangkan kali pertama kita dihadiahkan sebuah basikal. Dengannya, kita boleh pergi ke sekolah sendiri dengan lebih cepat. Malah kita boleh pergi ke mana-mana menggunakan basikal tersebut. Masalahnya, kita perlu belajar dahulu bagaimana hendak menunggangnya. Bukan sahaja ia susah pada mulanya malah menyakitkan. Berapa banyak luka di kaki dan tangan kita akibat terjatuh. Berapa kali agaknya kita menangis atau menyumpah-seranah kerana basikal itu tidak mahu mendengar kata. Susah bukan?

Namun, apa akan jadi kalau kita tidak mahu penat belajar menunggang basikal? Adakah berjalan kaki ke sekolah kurang memenatkan?

Pelajar yang merungut belajar itu memenatkan barangkali tidak pernah terfikir apa akan jadi beberapa tahun akan datang. Bayangkan kita rasa penat dan mahu berhenti belajar. 20 tahun akan datang kita akan terjumpa semula rakan-rakan sekelas atau satu sekolah. Mereka semua meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Mereka semua sama ada berkerjaya professional atau menjadi usahawan yang sangat berjaya.

Mereka mengumpul kejayaan, kekayaan dan kebahagiaan dalam masa yang cepat dan singkat. Tidakkah ia memenatkan hati dan perasaan kita melihat ini semua sedangkan kita terkial-kial untuk membayar bil setiap bulan? Tidakkah ia memenatkan semangat dan azam dalam diri kita apabila kita tahu yang usaha kita (tanpa pendidikan) sukar membawa kita ke mana-mana?

Bagi orang dewasa yang terasa penat mempelajari ilmu baru pula, tidakkah ia memenatkan apabila kita asyik gagal dalam apa yang kita lakukan? Bukankah ia semakin memenatkan apabila kita tersedar bahawa kita asyik melakukan kesilapan yang sama sejak 20 tahun yang lalu?

Jadi, pesan saya buat diri saya sendiri, adik-adik pelajar dan rakan-rakan seperjuangan, lebih baik penat kerana belajar sekarang daripada penat menyesal di kemudian hari. Penat belajar mungkin hanya beberapa gram sahaja dibandingkan dengan penat menyesal beberapa tan.

Saya ucapkan, selamat belajar ilmu yang baru. Selamat berhenti merungut dan fokus minda kepada sesuatu yang menarik minat kita dan akhir sekali, selamat menempuh cabaran demi mencapai kejayaan!

Sumber: http://www.motivasibelajar.com/

P/s: Selamat bercuti semester daripada kami, PMFSKB kepada semua mahasiswa/i fskb. Isilah cuti anda dengan aktiviti yang berfaedah, pelajari 'ilmu-ilmu' baru yang kita tidak boleh dapat di universiti.

Tuesday, October 12, 2010

GEMPUR MINDA!


Musim peperiksaan menjelang lagi!!!
Seronok? Berdebar? Tenson? Bercampur-baur?
Itulah fitrah manusia, sulaman perasaan dicorak sendiri untuk menghiasi seni kehidupan.

Ini bukan yang pertama dan bukan juga yang terakhir untuk kita… pengalaman dan perkenalan kita dengan peperiksaan ini bukannya baru, tetapi setiap kali menghadapi peperiksaan dirasakan seperti satu pengalaman yang baru, perasaan yang baru dan pengharapan yang baru. Inilah hebatnya kesan peperiksaan keatas diri pelajar. Ibarat cinta yang tidak pernah lentur dek masa.

Oleh itu, satu program telah dirancang untuk anda semua..
GEMPUR MINDA!!!
Ya..penat lelah dah belajar..tapi sudah cukupkah?



p/s: pakaian sopan, bawa pen dan catatan, dibawakan khas untuk anda oleh www.aminidris.com

Monday, October 11, 2010

Petua Pelajar Cemerlang.


Mungkin ramai tertanya-tanya, mengapa mereka masih tidak mencapai kecemerlangan walaupun telah mentelaah mata pelajaran berjam-jam sehari?

Menjadi seorang yang cemerlang adalah idaman setiap pelajar. Namun tidak ramai menyedari bahawa untuk menjadi seorang yang cemerlang, usaha bukan hanya tertumpu kepada mentelaah buku semata-mata, tetapi juga melibatkan rangkaian beberapa usaha lain.

Pernahkah mereka terfikir bahawa usaha itu harus diselangi dengan doa, memperbaiki diri sebagai insan dan sebagainya.

Di sini disenaraikan beberapa tip membentuk diri menjadi seorang pelajar yang cemerlang sekali gus membentuk diri menjadi insan yang disenangi ramai.

Sentiasa berfikiran positif

Berfikiran positif membantu pelajar membina imej yang meyakinkan, seterusnya membawa perubahan yang baik terhadap pelajaran dan kendiri. Berfikiran positif juga menjadikan pelajar sentiasa ceria dan seronok belajar. Ini boleh membantu proses pembelajaran. Namun, jangan terlebih seronok, nanti orang tersalah anggap pula. Orang yang berfikiran negatif pula mempunyai 10 kali ganda peluang mendapat sakit berbanding dengan mereka yang berfikiran positif.

Nyatakan matlamat

Sentiasa sasarkan satu matlamat sebelum melakukan sesuatu kerana mereka yang mempunyai matlamat lebih mudah mencapai kejayaan yang mereka ingini. Matlamat yang jelas dan hebat dapat membakar semangat. Pastikan matlamat yang diletakkan itu adalah satu matlamat yang membina. Namun, matlamat tanpa usaha tidak membawa erti apa-apa.

Menjaga kesihatan fizikal dan mental

Menjaga kesihatan adalah yang paling utama supaya pelajar berada dalam kondisi yang terbaik untuk menimba ilmu. Apabila badan dan minda berada dalam keadaan terbaik, pembelajaran akan mudah diterima. Sering bersenam dan berfikiran positif. Elakkan stres yang melampau dan sesekali cuba melakukan aktiviti riadah supaya diri dapat mencapai ketenangan yang ideal. Terlalu berfikir mengenai pembelajaran dan kejayaan juga boleh mengakibatkan minda pelajar menjadi sangat stres. Cuba elakkannya dengan mencari jalan terbaik untuk mengulangkaji pelajaran.

Menjaga pemakanan

Aspek pemakanan juga harus dititik beratkan kerana pemakanan yang seimbang penting bagi menjana pemikiran yang cerdas dan memori yang tajam.

Pelajar boleh mengingati sehingga 90 peratus bahan yang dipelajari apabila diaplikasikan ketika menjawab soalan berkaitan dengan bahan yang dibaca.

Cara belajar yang baik

Belajar dengan baik tidak semestinya mentelaah dari pagi hingga malam. Pelajar harus tahu bagaimana untuk belajar mengikut kesesuaian diri. Ada yang suka belajar secara berkumpulan dan ada yang suka bersendirian. Cari kesesuaian diri anda. Cari tempat tenang untuk belajar. Ramai pelajar suka mentelaah sambil mendengar muzik. Ia adalah perkara yang patut dielakkan kerana belajar sambil mendengar muzik mengurangkan tumpuan dan menghakis keberkatan ilmu. Kaedah belajar paling berkesan adalah dengan melakar peta minda. tetapi cuma 20 peratus pelajar yang belajar menggunakan peta minda.

Bergaul dengan positif

Apabila seseorang mempunyai ramai kawan, maka dia akan mempunyai pandangan yang luas kerana boleh bertukar-tukar pendapat berbanding dengan mereka yang lebih suka menyendiri. Kawan boleh menegur setiap kesalahan kita kerana kita tidak dapat melihat kekurangan diri. Namun, pelajar juga harus bijak memilih kawan. Peribadi dan prestasi kita sering dipengaruhi oleh kawan-kawan. Justeru, carilah kawan yang positif dan cemerlang.

Bersyukur

Pelajar harus bersyukur dengan setiap hasil yang diterima dalam peperiksaan kerana ia melambangkan usaha yang telah dilakukan. Jangan salahkan orang lain di atas kegagalan yang kita alami. Jangan juga dengki dengan kejayaan orang lain, sebaliknya ringankan mulut untuk bertanya rahsia mereka. Dekatkan diri dengan Tuhan tidak kira apa agama sekali pun. Pelajar juga harus sedia memberi bantuan kepada rakan-rakan lain dan jangan kedekut ilmu. Perbincangan satu kumpulan mampu mendapat keputusan yang terbaik.

Bersedia untuk gagal

Kegagalan adalah lumrah kehidupan. Bersedia untuk mengalaminya kerana disebalik kejayaan, pasti ada kegagalan. Jika kejayaan yang dikecapi itu adalah hasil usaha daripada kegagalan, ia akan lebih bermakna dan diingati. Belajar daripada kesilapan dan cuba cari jalan penyelesaian terbaik untuk memperbaiki kegagalan itu agar ia menjadi kejayaan.

Hargai pendidik

Pendidik adalah tonggak utama kepaa kejayaan seorang pelajar. Cuba tunjukkan penghargaan kepada mereka, bukan sahaja apabila anda mendapat kejayaan yang diingini tetapi juga apabila tiba hari-hari tertentu seperti hari guru atau hari lahir mereka. Doa pendidik sentiasa dimakbulkan Tuhan. Jangan lupa juga kepada ibu bapa kita kerana anak yang derhaka tidak akan mencapai kejayaan.

Usaha yang seimbang

Akhir sekali adalah usaha. Kejayaan tidak datang begitu sahaja tanpa usaha. Namun ia harus diseimbangkan. Jika hanya berusaha mempraktikkan segala tip di atas tanpa mentelaah buku, kejayaan tidak akan dapat dikecapi. Namun, jika hanya menghadap buku tanpa usaha-usaha di atas, kejayaan juga jauh daripada genggaman.



Sunday, October 10, 2010

Ikuti perkembangan VP5

Pada Ramadhan yang lalu, satu kutipan tabung 'Untukmu Palestin' telah dijalankan. Hasil kutipan sebanyak RM1020.00. Sumbangan telah diserahkan kepada pihak Viva Palestina Malaysia untuk misi yang kini sedang berjalan, iaitu Viva Palestina 5(VP5). Terima kasih kami ucapkan kepada para penyumbang. Di sini sedikit maklumat berkaitan misi...


Sebagaimana sedia maklum Konvoi misi kemanusiaan ke Gaza VP5 telah bergerak menuju Gaza melalui Benua Eropah. Misi ini yang disertai oleh Viva Palestina Malaysia menyumbang sebanyak 6 buah kenderaan yang akan digunakan sebagai ambulans di Gaza bersama dengan muatan bekalan keperluan dan ubat-ubatan. Sumbangan ini diserahkan melalui VP UK - penganjur utama kepada misi VP5 (Viva Palestina mission 5). Convoy bertolak dari kota London pada 18 September yang lalu.


Para pengunjung boleh mengikuti perkembangan misi ini dengan melayari laman-laman yang disenaraikan di bawah. Peta yang memantau perjalanan konvoi juga turut dimuatkan.


Monday, September 6, 2010

Pengumuman: Pengesahan Masuk Peperiksaan Akhir


Dimaklumkan kepada mahasiswa UKM pra-siswazah sekalian supaya mengesahkan permohonan masuk peperiksaan di SMP Web. Sekiranya gagal membuat pengesahan @ pembetulan terhadap maklumat tersebut, segala butiran kursus yg dicatatkan akan dianggap betul & lengkap. Saudara/i yang tidak membuat pengesahan juga akan dikenakan denda sebanyak RM 15.00. Harap maklum.

Wednesday, July 21, 2010

PENGUMUMAN PTPTN



Penghantaran & Pernyemakan Surat Tawaran dan Dokumen Perjanjian Pendidikan PTPTN bagi semester 1 sesi 2010/2011 UKM kampus Kuala Lumpur & PPUKM (Kelompok 1)

Sukacita dimaklumkan kepada pelajar yang telah berjaya ditawarkan Pinjaman Pendidikan PTPTN bagi semester 1 sese 2010/2011 Kelompok 1, pelajar dikehendaki menghantar SURAT TAWARAN dan DOKUMEN PERJANJIAN pada:

Tarikh: 28, dan 29 Julai 2010 (Rabu dan Khamis)
Masa : 9.00 pg-4.30 ptg
Tempat: Ruang Legar, Tingkat 1 Blok E (TIBE) UKM Kuala Lumpur

p/s: pelajar perlu melengkapkan semua dokumen perjanjian dan salinan sijil-sijil perlu disahkan untuk mengelak sebarang kesulitan.

Wednesday, July 14, 2010

JUALAN LABCOAT

PERHATIAN KEPADA SEMUA PELAJAR FSKB.

Persatuan Mahasiswa Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu mengadakan jualan labcoat dengan harga yang sangat rendah iaitu hanya RM10 sehelai.
Oleh itu, bagi sesiapa yang berminat untuk membeli anda boleh mengisi nama di senarai yang disediakan di papan kenyataan PMFSKB.
Selain itu, anda juga boleh menghubungi Exco Keusahawanan PMFSKB iaitu Nor Rashidah (Audiologi/2) . Sekian, dari kami. Harap maklum.